KUALA LUMPUR – Syarikat pakar kejuruteraan bilik bersih dan penyelesaian kemudahan tempatan, iCents Group Holdings Bhd (iCents) memperluas penembusan pasaran infrastruktur pusat datanya di Asia Tenggara melalui jalinan kerjasama dengan entiti berteknologi dari China.
Usaha strategik perniagaan rentas sempadan ini direalisasikan apabila anak syarikat milik penuhnya, VC Engineering Sdn Bhd (VC Engineering) memeterai Perjanjian Kontrak bersama Wuxi Yiding Zhizao Technology Co Ltd (WXYD) hari ini.
Menerusi pemeteraian perjanjian berkenaan, kedua-dua belah pihak bersetuju untuk bekerjasama dari segi pembangunan, pemasaran dan penyampaian sistem penyejukan modular pasang siap.
Sinergi perniagaan ini juga memfokuskan kepada penyelesaian pengurusan terma atau haba berkaitan yang kritikal bagi memenuhi keperluan projek infrastruktur pusat data di seluruh rantau Asia Tenggara.
Dari sudut peranan perniagaan, WXYD yang mempunyai kepakaran pengkhususan dalam pembangunan teknologi, integrasi sistem kawalan pintar dan penyelesaian automasi perindustrian di China akan bertindak menyalurkan bekalan teknologinya.
Penyelesaian dan teknologi pengurusan haba dari syarikat China berkenaan kemudiannya akan digabungkan bersama keupayaan kejuruteraan serta pelaksanaan projek yang dikendalikan oleh VC Engineering.
Pengarah Eksekutif iCents Group Holdings Bhd, Foo Siang Leng melihat gabungan kekuatan dua entiti korporat ini sebagai satu platform ideal untuk menyediakan penyelesaian yang lebih komprehensif bagi pelanggan di persekitaran berspesifikasi tinggi.
Siang Leng turut menegaskan bahawa penjanjian strategik berkenaan bukan sekadar pertukaran teknologi, sebaliknya membawa manfaat ekonomi yang lebih meluas kepada syarikat.
Selain kerjasama teknologi, perkongsian ini menyediakan peluang untuk berkongsi kepakaran industri, mengukuhkan hubungan pelanggan dan meneroka pasaran baharu di seluruh Asia Tenggara,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Urusan iCents Group Holdings Bhd, Ir Vincent Ong Mum Fei menjelaskan, langkah kolaborasi korporat berkenaan selari dengan permintaan semasa untuk memperkukuh keupayaan mereka dalam ekosistem pusat data.
Menurut Mum Fei, penyelesaian pengurusan haba yang cekap kini menjadi semakin mustahak memandangkan berlakunya peningkatan permintaan mendadak bagi kecerdasan buatan (AI), pengkomputeran awan serta infrastruktur hiperskala.
Secara keseluruhannya, tumpuan kontrak berkenaan akan memudahkan kelangsungan perkongsian pengetahuan, inisiatif pembangunan perniagaan bersama, serta usaha pemburuan projek-projek masa depan berkaitan sektor pusat data yang berpotensi.
Melangkah ke hadapan, kumpulan dijangka terus memanfaatkan peluang yang wujud daripada proses pengembangan infrastruktur digital berkenaan bagi mengukuhkan kedudukannya dalam ekosistem infrastruktur kritikal misi di rantau ini demi objektif pertumbuhan jangka panjang.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L