Zahid Hamidi

Kuota kerusi Parlimen Sabah, Sarawak: Cadangan perlu penelitian – TPM Ahmad Zahid

PUTRAJAYA – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi memaklumkan semua pihak perlu meneliti cadangan meminda jumlah kerusi Parlimen untuk memenuhi kuota satu pertiga atau 35 peratus mewakili Sabah dan Sarawak.

Menurut beliau, penelitian perlu dilakukan secara menyeluruh dengan membabitkan pelbagai pihak termasuk membabitkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

“Kita belum meneliti (cadangan untuk buat pindaan bagi memenuhi tuntutan kuota satu pertiga atau 35 peratus kerusi Parlimen mewakili Sabah dan Sarawak) kerana penelitian ini harus dilakukan dengan parti komponen dalam kerajaan.

“Kita juga harus duduk dengan SPR mengenai perkara ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Rumah Terbuka Lebaran Kasih Aidilfitri di Sri Satria di Putrajaya malam ini.

Sebelum ini, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof dilapor berkata, rundingan bagi meminda kuota satu pertiga atau 35 peratus kerusi Parlimen Sabah dan Sarawak perlu dibuat secara bersemuka khususnya dengan setiap Ahli Parlimen di Semenanjung.

Jelas beliau, ini kerana ketika ini Ahli Parlimen Semenanjung sudah mewakili 75 peratus daripada 222 kerusi.

Sekiranya pindaan Perlembagaan di Dewan Rakyat ingin dilakukan, tiada keperluan untuk merujuk rujuk Ahli Parlimen Sabah dan Sarawak kerana mereka saja sudah lebih dua pertiga kerusi.

Selain itu, ketika diminta mengulas kenyataan Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin yang mengumumkan kerjasama UMNO dan Pakatan Harapan Sabah bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri Ke-17, beliau berkata, rundingan sentiasa terbuka.

Bagaimanapun, beliau yang juga Pengerusi BN menjelaskan rundingan masih diteruskan dengan pelbagai parti gabungan di negeri itu.

“Kami telah mengadakan pertemuan antara BN dan PH dan pertemuan telah diadakan dengan pelbagai gabungan parti politik di Sabah.

“Sebaik-baiknya semua pemimpin parti apabila semua pemimpin parti daripada mana juga parti gabungan sudah mencapai keserasian, maka pengumuman akan dilakukan secara rasmi.

“Tetapi setakat ini rundingan tetap diteruskan dengan ramai pihak,” katanya lagi.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *