AGC Arah Siasatan Nahas Kluang Di Bawah Kesalahan Membunuh

PETALING JAYA – Jabatan Peguam Negara (AGC) mengarahkan siasatan dalam nahas ngeri yang mengorbankan lima individu dan mencederakan lapan yang lain di Kluang, Johor, Isnin lalu diklasifikasikan di bawah kesalahan membunuh serta menyebabkan kematian akibat pemanduan melulu dan berbahaya.

Peguam Negara, Tan Sri Dusuki Mokhtar dilaporkan berkata, keputusan berhubung pertuduhan yang dikenakan hanya akan dimuktamadkan selepas pihaknya meneliti keseluruhan hasil siasatan dikemukakan polis.

Beliau turut melahirkan rasa kecewa terhadap sikap segelintir pemandu masih mengabaikan keselamatan jalan raya walaupun pelbagai tindakan tegas, termasuk pertuduhan membunuh dalam kes-kes nahas maut sebelum ini, telah diambil oleh pihak berkuasa.

“Langkah penguatkuasaan dan pendakwaan yang tegas sepatutnya menjadi pengajaran kepada pengguna jalan raya, namun insiden seumpama ini masih berulang,” katanya seperti dilaporkan.

Dalam perkembangan berkaitan, Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Noh berkata, tempoh reman seorang remaja lelaki berusia 19 tahun yang dipercayai terlibat dalam kemalangan berkenaan telah dilanjutkan sehari lagi bagi membantu siasatan.

Menurut beliau, siasatan awal mendapati remaja terbabit yang memandu sebuah Mercedes-Benz E240 dipercayai sedang berlumba dengan abangnya, Goh Yi Sheng, 22, yang memandu sebuah BMW sebelum kejadian berlaku pada jam 1.19 tengah hari di Jalan Renggam-Simpang Renggam.

Difahamkan, BMW dipandu Goh hilang kawalan sebelum memasuki laluan bertentangan dan merempuh beberapa kenderaan lain, termasuk sebuah Perodua Alza, Toyota Vios, Proton Wira 1.5 serta Mercedes-Benz yang dipandu adiknya.

Akibat pelanggaran itu, empat penumpang Toyota Vios iaitu Aiman Rashid, 36; Nur Airish Syifa Sidek, 10; Nor Azlina Abd. Latif, 33; dan Semek Mat Soh, 73, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Goh pula dilaporkan mati akibat kecederaan parah di bahagian dada ketika dalam perjalanan ke hospital untuk mendapatkan rawatan.

Lapan lagi mangsa yang cedera dalam nahas tersebut telah dihantar ke Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom, Kluang bagi menerima rawatan lanjut.

Kes kini disiasat dari pelbagai sudut termasuk kemungkinan wujud elemen perlumbaan haram dan kecuaian melampau yang membawa kepada kehilangan nyawa.

Jika sabit kesalahan, individu yang terlibat boleh berdepan tindakan undang-undang yang lebih berat berdasarkan hasil siasatan dan keputusan pihak pendakwaan.

Top of Form

Bottom of Form

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *