GERIK – Insiden tiga pekerja maut dipercayai lemas susulan terperangkap dalam lubang pembentung di sebuah resort yang sedang dalam pembinaan di Kampung Ibol, Sumpitan, di Lenggong, hari ini, turut menyebabkan seorang mangsa kritikal manakala empat lagi mengalami sesak nafas.
Ketua Polis Daerah Gerik, Superintendan Zulkifli Mahmood, berkata mangsa yang kini dalam keadaan kritikal adalah warga Indonesia berusia 31 tahun, manakala empat lagi yang bantu mengeluarkan mangsa dari tangki kumbahan itu mengalami sesak nafas.
Berita Harian melaporkan, mangsa yang kritikal kini dirawat di Hospital Taiping, manakala empat yang mengalami sesak nafas kini dirawat di Hospital Kuala Kangsar, justeru menjadikan bilangan keseluruhan mangsa kes itu adalah lapan orang.
Beliau berkata, semua lapan mangsa itu adalah lelaki berusia antara 25 hingga 55 tahun, dengan siasatan awal polis di tempat kejadian mendapati tangki kumbahan terbabit dalam proses pembinaan.
“Dua mangsa dibawa keluar oleh pekerja lain yang berada di kawasan kejadian. Kedua-dua mangsa itu disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan, manakala, dua orang lagi mangsa dihantar ke Klinik Kesihatan (KK) Lenggong.
“Seorang dari dua mangsa yang dibawa ke KK Lenggong kemudiannya disahkan meninggal dunia, manakala seorang lagi dihantar ke Hospital Taiping dalam keadaan kritikal.
“Empat lelaki yang bantu mengeluarkan mangsa, mengalami sesak nafas dan sedang menerima rawatan di Hospital Kuala Kangsar,” katanya dalam kenyataan malam ini.
Katanya lagi, mayat mangsa warga tempatan yang meninggal dunia berusia 29 dan 37 tahun dihantar ke Unit Forensik Hospital Taiping, manakala mayat mangsa warga Indonesia berusia 25 tahun dihantar ke Unit Forensik Hospital Gerik untuk proses bedah siasat.
“Kematian ketiga-tiga mangsa itu disiasat sebagai mati mngejut (SDR), dengan siasatan lanjut masih diteruskan.
Tiga lelaki termasuk seorang warga Indonesia maut dipercayai lemas selepas terperangkap dalam lubang pembetung di sebuah resort yang sedang dalam pembinaan di Kampung Ibol, Sumpitan, di sini, pagi tadi.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad, berkata dua warga tempatan berusia 29 dan 37 tahun disahkan meninggal dunia di tempat kejadian, sementara warga Indonesia meninggal dunia di hospital.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001