KUALA LUMPUR – Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) melancarkan Program Rintis JPK-NOCN sebagai langkah memperkukuh pengiktirafan antarabangsa terhadap Sistem Persijilan Kemahiran Malaysia (SPKM) serta meningkatkan daya saing graduan TVET di pasaran kerja global.
Program yang dilaksanakan menerusi kerjasama strategik antara JPK dan Vistuoso Sdn. Bhd. selaku wakil NOCN Group United Kingdom itu memperkenalkan konsep “Satu Kursus, Dua Persijilan” yang membolehkan pelatih memperoleh persijilan Malaysia dan United Kingdom melalui satu laluan pembelajaran.
Inisiatif tersebut dilihat sebagai usaha memperkasakan ekosistem Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) negara dengan menyelaraskan standard latihan serta memperkukuh jaminan kualiti mengikut piawaian antarabangsa.
Pada peringkat awal, program rintis itu memberi tumpuan kepada empat bidang utama iaitu pemasangan dan penyelenggaraan elektrik satu fasa, pemasangan dan penyelenggaraan elektrik tiga fasa, pemasangan dan penyelenggaraan elektrik voltan rendah serta servis kenderaan elektrik dan hibrid.
Bidang-bidang tersebut dipilih berdasarkan keperluan semasa industri, khususnya dalam sektor tenaga dan automotif yang sedang berkembang pesat seiring peralihan kepada teknologi hijau.
Sebanyak 30 Pusat Bertauliah (PB) di seluruh negara akan terlibat dalam projek rintis itu dengan sasaran seramai 1,000 pelatih menerima manfaat melalui sistem persijilan dual yang diperkenalkan.

Salah satu elemen baharu yang diketengahkan menerusi program ini ialah penggunaan Skills Card yang berfungsi sebagai bukti kelayakan dan kemahiran yang boleh diiktiraf di peringkat antarabangsa.
Kad tersebut dijangka memudahkan graduan membuktikan kompetensi mereka kepada majikan, sekali gus meningkatkan peluang pekerjaan sama ada di dalam atau luar negara.
Bagi memastikan standard latihan dan penilaian memenuhi kehendak antarabangsa, Pusat Latihan Pengajar dan Kemahiran Lanjutan (CIAST) diberi tanggungjawab melaksanakan program Train The Trainer (TTT).
Melalui inisiatif itu, CIAST akan dinaik taraf di bawah akreditasi United Kingdom dengan sasaran melatih 40 jurulatih dan 40 penilai yang akan menerima pengiktirafan rasmi antarabangsa.
Ketua Pengarah JPK, Ir. Ts. Dr. Kamaruzaman Md. Ali berkata program tersebut selaras dengan agenda transformasi TVET negara yang menekankan kecemerlangan global dan pembangunan ekonomi bernilai tinggi menerusi penghasilan tenaga kerja berkemahiran tinggi.
Pada majlis sama, NOCN Group turut mengumumkan penubuhan NOCN Asia Sdn. Bhd. di Malaysia sebagai tanda komitmen jangka panjang dalam menyokong usaha pengantarabangsaan TVET negara. Kejayaan program rintis itu dijangka menjadi pemangkin kepada peluasan pelaksanaan persijilan dual ke seluruh negara pada masa hadapan.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L