Pelakon veteran Noor Azizah meninggal dunia

KUALA LUMPUR – Industri perfileman tanah air kehilangan seorang lagi pelakon veteran yang disegani ramai, Datin Noor Azizah Azizul Hassan yang menghembuskan nafas terakhir awal pagi tadi.

Astro AWANI difahamkan pelakon yang berusia 79 tahun itu meninggal dunia di kediamannya di Kampung Sungai Paloh, Ipoh, sekitar jam 3 pagi tadi.

Menurut wartawan hiburan veteran, Muzlina Abu Bakar, berita pemergian pelakon veteran itu disahkan oleh anak Allahyarham Noor Azizah iaitu Khairena kepadanya.

Muzlina yang juga rakan karib Allahyarham Noor Azizah memberitahu, seniwati itu meninggal dunia selepas mengalami sesak nafas.

Sepanjang kerjaya lakonannya, Allahyarham Noor Azizah pernah membintangi filem Enam Jahanam arahan Tan Sri P Ramlee yang sekali gus memasyhurkan nama beliau dalam gelanggang perfileman.

Enam Jahanam diterbitkan pada sekitar 1969.

Penglibatan Allahyarham dalam dunia perfileman berlaku secara kebetulan ketika beliau melawat Studio Jalan Ampas di Singapura.

Semasa kunjungan itu, kejelitaan Allahyarham Noor Azizah mendapat perhatian seniman Allahyarham Datuk Ahmad Mahmud yang menawarkannya membintangi filem ‘Dayang Senandong’ pada tahun 1965 sebagai pelakon tambahan.

Allahyarham Noor Azizah juga pernah ditawar berlakon dalam filem terbitan negara jiran, Indonesia sebagai pelakon utama dalam filem ‘Malin Kundang’ pada tahun 1971 bersama aktor negara itu, Rano Karno.

Bahkan, Allahyarham juga pernah memegang watak Doktor Susan Lim dalam produksi Australia drama bersiri terkenal, iaitu ‘Bailey Bird’ pada 1977.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *