KUALA LUMPUR – Encorp Berhad (ENCORP) telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MOU) dengan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) bagi melaksanakan reka bentuk dan pembinaan perumahan kakitangan FELDA.
Menerusi kerjasama ini, ENCORP akan dilantik sebagai kontraktor utama bagi mereka bentuk dan membina projek tersebut, tertakluk kepada kelulusan dan perjanjian muktamad kedua-dua pihak.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan ENCORP, Ahmad Harzimi Mohd Taib berkata, kerjasama ini merupakan kesinambungan daripada rekod prestasi ENCORP dalam projek berkualiti menerusi anak syarikatnya, Encorp Development Sdn Bhd setelah berjaya menyiapkan Fasa 1 Lamanda Chuping pada tahun 2024, yang menyediakan 224 unit kediaman kos rendah dan sederhana untuk warga peneroka dan generasi FELDA serta 17 unit komersial.
“Kami berbesar hati kerana diberi kepercayaan untuk menyumbang kepakaran dalam aspek pembinaan untuk pembangunan FELDA dan amat komited untuk menyediakan kediaman yang moden, terancang dan berkualiti demi kesejahteraan warga kerja FELDA,” katanya.
MoU kerjasama ditandatangani oleh Pengarah Besar FELDA, Datuk Dr. Suzana Idayu Wati Osman yang disaksikan Pengerusi FELDA, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek dan Pengerusi ENCORP, Mohd Yusmadi Mohd Yusoff.
Ahmad Harzimo berkata melalui portfolio sedia ada seperti Tilia Shah Alam, perancangan fasa seterusnya bagi Lamanda Chuping, serta pengukuhan segmen pelaburan hartanah, ENCORP menyasarkan untuk membawa standard yang sama ke dalam inisiatif ini bagi menyediakan ruang kediaman untuk warga kerja FELDA.
Langkah ini membuktikan komitmen FELDA dalam mengutamakan kebajikan warga kerjanya melalui penyediaan kediaman yang selesa, praktikal dan kondusif, sekali gus menyokong kesejahteraan dan produktiviti harian kakitangan serta memperkukuh infrastruktur sosial, tambahnya.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L