Veteren ATM Dibuka Laluan Kerjaya Baharu

Oleh NurFarhana Zulkeply

PUTRAJAYA – Selepas bertahun-tahun berkhidmat mempertahankan negara, ribuan bakal pesara dan veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) kini berpeluang memulakan fasa baharu kehidupan menerusi peluang pekerjaan yang ditawarkan dalam sektor pengangkutan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, kerjasama strategik antara Kementerian Pengangkutan (MOT) dan Kementerian Pertahanan (MINDEF) berkaitan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) membuka laluan lebih tersusun kepada anggota ATM yang bakal menamatkan perkhidmatan.

Menurut beliau melalui laman sosial Facebook, inisiatif itu merangkumi akses kepada latihan kemahiran, peningkatan kemahiran, latihan semula serta peluang pekerjaan yang sepadan dengan keperluan industri.

“Anggota, bakal pesara dan veteran ATM merupakan aset strategik negara yang memiliki disiplin tinggi, pengalaman luas dan kemahiran bernilai untuk terus menyumbang kepada pembangunan ekonomi selepas bersara daripada perkhidmatan,” katanya ketika menyempurnakan Majlis Kerjasama Strategik MOT-MINDEF di Perdana Putra, hari ini.

Sebagai langkah permulaan, sebanyak 3,208 peluang pekerjaan telah dikenal pasti melibatkan subsektor logistik, pelabuhan, rel, pengangkutan awam, pengangkutan darat dan rantaian bekalan.

Zahid berkata, peluang tersebut bukan sahaja membantu veteran membina kerjaya kedua yang lebih mampan, malah menyokong usaha industri mendapatkan tenaga kerja mahir yang semakin diperlukan.

Beliau turut menegaskan bahawa TVET perlu dilihat sebagai platform yang menghubungkan latihan dengan peluang pekerjaan sebenar, sekali gus meningkatkan kebolehpasaran peserta.

“Apabila kerajaan, industri dan institusi latihan bergerak seiring, kita dapat membangunkan tenaga kerja yang memenuhi keperluan semasa serta mewujudkan ekosistem bakat yang lebih berdaya saing,” katanya.

Beliau berharap kerjasama berkenaan dapat menjadi model kepada lebih banyak kolaborasi rentas kementerian pada masa hadapan demi memperluas peluang pekerjaan kepada rakyat.

NurFarhana Zulkeply adalah pelajar Sarjana Muda Komunikasi Dengan Kepujian dari USIM yang sedang menjalani Latihan Industri di NasionalDaily.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *