MELAKA – Dakwaan tular di media sosial mengenai seorang wanita yang didakwa menjadi mangsa cabul dan rogol berulang kali oleh seorang lelaki di sebuah bilik jenazah masjid mengundang perhatian ramai sejak beberapa hari lalu, namun siasatan polis setakat ini mendapati tiada unsur jenayah seperti didakwa.
Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar berkata, polis telah menerima laporan berhubung dakwaan tersebut yang dibuat oleh seorang wanita berusia lingkungan 50-an terhadap seorang lelaki berusia 48 tahun pada jam 9.12 pagi semalam.
Menurutnya, sebaik menerima laporan berkenaan, polis menjalankan siasatan menyeluruh termasuk mengambil keterangan daripada pihak berkaitan bagi mengenal pasti sama ada wujud kesalahan jenayah seperti yang didakwa.
Bagaimanapun, hasil siasatan mendapati tiada bukti menunjukkan berlaku perbuatan rogol atau cabul secara paksa sebagaimana tersebar di media sosial.
“Berdasarkan keterangan diperoleh sepanjang siasatan, tiada sebarang elemen paksaan dapat dibuktikan.
“Susulan itu, dakwaan berhubung kesalahan jenayah dilaporkan tidak dapat disokong dengan keterangan yang mencukupi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Walaupun siasatan jenayah tidak menemukan unsur yang membolehkan kes diklasifikasikan sebagai rogol atau cabul, polis memaklumkan, kes itu telah dirujuk kepada Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) untuk tindakan lanjut mengikut peruntukan undang-undang syariah yang berkuat kuasa di negeri itu.
Menurut Dzulkhairi, JAIM akan meneliti perkara berkenaan di bawah Enakmen Kesalahan Syariah (Negeri Melaka) 1991 bagi menentukan sama ada terdapat sebarang pelanggaran yang boleh diambil tindakan mengikut bidang kuasa agensi berkenaan.
Sebelum ini, media sosial dibanjiri pelbagai dakwaan yang mendakwa seorang jemaah wanita telah menjadi mangsa cabul dan rogol di sebuah bilik jenazah masjid oleh seorang individu dipercayai bertugas sebagai siak.
Pendedahan tersebut mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan masyarakat memandangkan lokasi dikaitkan dengan dakwaan itu merupakan sebuah institusi keagamaan yang dihormati.
Malah, beberapa hantaran yang tular turut mendakwa mangsa tidak mendapat sokongan sewajarnya untuk membuat laporan polis.
Antara dakwaan turut tersebar ialah kononnya imam masjid berkenaan tidak membenarkan wanita terbabit membuat laporan kepada pihak berkuasa, selain wujud tuduhan berlaku cubaan melindungi individu yang dikaitkan dengan kes tersebut.
Tidak terhenti di situ, media sosial juga dipenuhi dakwaan bahawa pihak pengurusan masjid telah melantik seorang siak baharu bagi menggantikan siak lama yang dikaitkan dengan insiden berkenaan, sekali gus mencetuskan pelbagai spekulasi dalam kalangan orang ramai.
Dalam perkembangan berkaitan, Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama Melaka, Datuk Rahmad Mariman mengesahkan siak yang dikaitkan dengan dakwaan tersebut telah meletakkan jawatan pada Mei lalu.
Bagaimanapun, beliau menjelaskan pihak masjid tidak dapat mengesahkan sebab sebenar peletakan jawatan berkenaan dan tidak mempunyai maklumat lanjut mengenai perkara tersebut.
Kes itu kini diserahkan kepada JAIM untuk tindakan selanjutnya, manakala polis menegaskan bahawa siasatan yang dijalankan setakat ini tidak menemukan unsur jenayah seperti yang didakwa dalam laporan dan hantaran tular di media sosial.
Pihak berkuasa turut mengingatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat yang belum disahkan kerana ia boleh menimbulkan kekeliruan serta menjejaskan proses siasatan yang dijalankan oleh pihak berkenaan.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L