Sarawak mula dilanda banjir, situasi di Sabah semakin buruk

Sarawak mula dilanda banjir, situasi di Sabah semakin buruk

09/03/2025:

KUALA LUMPUR – Sarawak negeri terbaharu dilanda banjir melibatkan daerah Lawas, manakala situasi bencana itu di Sabah semakin buruk dengan jumlah mangsa berlindung di pusat pemindahan sementara (PPS) semakin meningkat malam tadi.

Di SARAWAK, 35 penduduk dari empat kampung di Trusan, Lawas dipindahkan ke PPS yang dibuka di Dewan Trusan semalam.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak dalam kenyataan hari ini memaklumkan, anggota Balai Bomba dan Penyelamat Lawas digerakkan ke lokasi pada jam 10 pagi setelah menerima panggilan paras air Sungai Trusan mencatatkan 0.91 meter.

Mangsa terlibat adalah dari Kampung Seberang Kedai Tusan (14 orang), Kampung Ranau (10), Kampung Lubuk Abai (enam) dan Kampung Murud Suang Trusan (lima).

Operasi pemindahan yang dibantu polis, Angkatan Pertahanan Awam (APM), Jabatan Sukarelawan, Kementerian Kesihatan (KKM), Pejabat Daerah Trusan dan Jabatan Kebajikan Masyarakat tamat pada jam 4.55 petang.

Di SABAH, jumlah mangsa banjir meningkat kepada 1,010 orang daripada 325 keluarga setakat jam 8 malam tadi berbanding 522 orang daripada 154 keluarga jam 4 petang.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sabah dalam kenyataan memaklumkan, sebanyak 20 kampung terjejas iaitu masing-masing 10 di Beaufort dan Membakut dengan trend pemindahan mangsa meningkat.

Menurut kenyataan, 780 orang daripada 249 keluarga dipindahkan di dua PPS di Beaufort iaitu PPS Dewan Selagon dan PPS Dewan Dun Banir, manakala 230 orang daripada 76 keluarga berlindung di satu PPS di Membakut yang dibuka semalam iaitu Dewan Kesenian Islam Membakut.

Di MELAKA, situasi banjir pulih sepenuhnya selepas PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Parit Penghulu, Sungai Rambai, Jasin ditutup pada jam 5.45 petang.

Pengarah APM negeri, Lt Kol (PA) Kamarulsyah Muslim berkata, empat daripada satu keluarga terakhir yang berlindung di PPS itu telah dibenarkan pulang ke rumah mereka di Jalan Simen, Batu Gajah petang semalam. – BERNAMA

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *