01/03/2025:
Oleh: Mohd Hisyam Sah Nuddin.
BERIKUTAN pengisytiharan perairan Zon Ekonomi Eksklusif Malaysia (ZEE) pada 20 September 1979 serta pewartaan Peta Baru Malaysia pada 21 Disember 1979, Kabinet telah mengarahkan agar kajian dilakukan untuk mendirikan tugu dan penempatan di beberapa terumbu batu karang yang berada dalam lingkungan ZEE Malaysia bagi mengukuhkan tuntutan Malaysia di Perairan Spratly.
Selepas kehilangan Terumbu Laksamana, Terumbu Perahu dan Terumbu Semarang Barat Kecil yang kini diduduki oleh Filipina dan Vietnam. Namun begitu, kita berjaya mendapatkan terumbu lain iaitu Terumbu Layang-Layang, Terumbu Ubi, Terumbu Siput, Terumbu Mantanani dan Terumbu Peninjau.
Tuntutan kerajaan terhadap Terumbu Layang-Layang di perairan Kepulauan Spratly merupakan percaturan terpenting negara pada zaman Tun Dr. Mahathir Mohamad yang mula menduduki jawatan Perdana Menteri pada tahun 1981.
Dalam Biografi A Doctor in the House: The Memoirs of Tun Dr Mahathir Mohamad (halaman 344) pada tahun 1983 beliau bermalam di Humble Hut kali pertama dan telah membuat keputusan untuk menjadikan Terumbu Layang-Layang sebuah pulau peranginan dan seterusnya meluaskan kuasa serta ZEE di kepulauan Spratly.
OP TUGU (APRIL 1980) – SEBUAH RANCANGAN GENIUS
Terumbu Layang-Layang terletak 156 batu nautika barat laut Kota Kinabalu. Ketika awal pendudukan, masih tidak terdapat sebarang infrastruktur di sana kecuali tugu yang siap dibina pada 21 Jun 1980 oleh No. 1 Skuadron, No. 2 Skuadron, No. 8 Skuadron, 91 Rejimen Bina dan No. 92 Skuadron, Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) bersama Pegawai serta anggota Tentera Laut Diraja Malaysia, Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM) serta bantuan logistik dari kapal KD Sri Banggi dan Skuadron Ke-5, TUDM Labuan Pesawat Nuri M23-33.
Pada Mei 1983 kumpulan pertama seramai 11 anggota PASKAL mendarat melalui KD Mutiara serta menduduki Terumbu Layang-Layang secara tetap. Modul ini digelar ‘Wisma Kaki Langit’ memandangkan kedudukannya di tengah-tengah lautan luas bagai tak bertepi.
Selanjutnya terumbu ini telah ditambak secara berperingkat dan Stesen Lima yang telah dirasmikan Tun Dr. Mahathir.
“Pulau Layang Layang ini dibina dengan menambak kawasan terumbu karang. Pasir disedut dari dalam lagun dan ditambun di atas terumbu yang terdedah sewaktu air surut.
Dua tongkang (barge) ditarik naik ke atas terumbu sewaktu air pasang paling tinggi (berpandukan masa dalam sebulan). Kemudian ditambat dengan sauh. Bila air surut kering, tongkang dipecahkan di bahagian bawah supaya air laut boleh masuk dan pasir laut mula diisikan ke dalam tongkang menyebabkan ianya berat dan tetap kedudukan walaupun waktu air pasang.
Kemudian seawal dibina, pasir disedut dari lagun dan ditambak lagi sehingga pulau menjadi lebih besar. Kemudiannya bangunan didirikan dan pokok-pokok ditanam. Pokok-pokok yang ditanam adalah dari jenis yang tahan kepada keadaan persekitaran laut dan angin masin (salt spray).
Kerja-kerja penambakan di Pulau Layang Layang ini telah dijalankan dengan jentera oleh Syarikat Sin Matu dari Limbang, Sarawak.
Selain itu juga, burung Layang Layang banyak bertelur dan membesarkan anak di sini. Apabila anak-anaknya telah cukup kuat untuk terbang mereka akan terbang pergi dalam satu kumpulan yang besar.
Terumbu Ubi terletak di posisi 07°36’.4U dan 113°55’.8T yang meliputi kawasan seluas 11.4 kilometer persegi di atas Terumbu Ubi. Modul Terumbu ini berukuran 60 meter panjang, 24 meter lebar dan 4.5 meter tinggi ini dibina pada tahun 1984.
Terumbu Mantanani berukuran 60 meter panjang, 24 meter lebar dan 4.5 meter tinggi. Modul ini dikandaskan di Terumbu Mantanani yang meliputi kawasan seluas 16.1 kilometer persegi. Terumbu Mantanani terletak di posisi 07°50ˊU 113°00ˊT di Pelantar Benua Malaysia.
Stesen ini telah dirasmikan Panglima Tentera Laut Laksamana Madya Dato’ Abdul Wahab Nawi pada 3 Nov 1986. Pada 18 Mei 1994, Terumbu Mantanani telah diisytiharkan kawasan larangan oleh kerajaan Malaysia. Terumbu Mantanani terletak 35 batu nautika di utara Terumbu Layang-Layang dan berhampiran dengan Pulau Kecil Amboyna milik Vietnam.
Terumbu Peninjau yang terletak di posisi 08°07’.64U 114°34’.39T 70 batu nautika timur laut Terumbu Layang Layang yang siap sepenuhnya pada 10 Mei 1999. Modul ini dioperasikan untuk tujuan kerja-kerja saintifik dan penyelidikan marin.
Terumbu Siput merupakan terumbu yang terkecil dengan keluasan 1.6 batu nautika persegi dan berada di posisi 08 07.5 U 114 05.3 T hampir dengan garisan sempadan ZEE Malaysia di bahagian utara. Secara rasminya stesen telah diterima dan beroperasi mulai 18 Jun 1999.
Memandangkan Terumbu Siput salah satu unit barisan hadapan TLDM di Kepulauan Spratlys bersama empat terumbu yang lain, secara tidak langsung, stesen ini merupakan satu penempatan dan kedudukan yang terdedah kepada ancaman kuasa asing dan berisiko tinggi.
TINDAKAN OFFENSIVE MENERUSI OPS PETALING
Sebelum itu pada 9 Mac 1999, Tun Dr. Mahathir telah bersetuju mewujudkan Ops Petaling bagi mengukuhkan tuntutan negara ke atas Terumbu Siput dan Penijau, kawasan perairan yang juga dituntut oleh lima negara lain iaitu Brunei Darussalam, Republik Filipina, Republik Rakyat China (RRC), Taiwan dan Vietnam.
Pengorbanan yang dilakukan oleh Unsung Heroes yang menduduki dan membangunkan terumbu terumbu ini perlu diiktiraf agar Malaysia Baharu masa hadapan tidak mensia-siakan pengorbanan mereka ini.
Pencetus evolusi Terumbu Layang-Layang, Tun Dr Mahathir serta warga ATM, terima kasih diucapkan kerana berjaya menakluk sebuah harta di Laut China Selatan yang berharga untuk negara.
Penulis, Mohd Hisyam Sah Nuddin adalah pengkaji kes pemilikan terumbu di UKM.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001