28/02/2025:
Oleh: Senator Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa
SEMPENA Ramadan Al Mubarak umat Islam akan berpuasa dan puasa adalah amalan para anbiya serta umat sebelum ini demi mencapai ketaqwaan dalam hidup kita.
Rahsia berpuasa itu mendalam ertinya pada kehidupan umat Islam, selain ibadah, ia juga adalah amalan kesihatan yang terbukti menghidupkan semula kesegaran sel-sel tubuh badan kita yang semakin lusuh.
Dalam suasana dunia yang kelam dan pekat dengan kitaran fitnah, Ramadan muncul sebagai satu cahaya yang memberi harapan untuk kita bergerak keluar dari kitaran ganas ini.
Ini kerana Ramadan adalah bulan al-Quran dan al-Quran adalah petunjuk kepada manusia dan keterangan dari petunjuk serta berupaya membedakan antara garisan Haq dan Batil.
Di Malaysia yang politiknya sentiasa digegarkan oleh “isu-isu panas” yang lebih merupakan fitnah dan kelicikan taktik, saya menyeru kepada semua pihak supaya mengambil kesempatan sempena Ramadan ini untuk kita berpuasa dari fitnah politik, fitnah perkauman dan fitnah agama yang menyuburkan budaya kebencian dan permusuhan.
Tidak cukup kita berpuasa dengan menghalang diri dari makan dan minum semata-mata, kita juga wajib menghalang mulut-mulut kita daripada memfitnah dan sekat hati-hati kita daripada menularnya perasaan dendam dan benci sesama insan.
Jadikan majlis berbuka sebagai talian silaturrahim dengan kita bersikap Rahmah rentas kepartian dan kelompok.
Sememangnya Maqasid (tujuan syariat) berpuasa itu adalah untuk kita membebaskan diri daripada kitaran akhlak yang keji ke arah akhlak yang terpuji, jika tidak apa yang kita perolehi daripada ibadah puasa hanyalah lapar dan dahaga.
Ramadan mendidik kita menghayati makna hidup yang mulia dan akhlak yang terpuji.
Saya mengucapkan selamat menyambut bulan Ramadan dan selamat kita berpuasa daripada menyebarkan fitnah dan selamat kita berpuasa dari perasaan kebencian dan permusuhan sesama kita. Ramadan Kareem, Ramadan Mubarak.
Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof Rawa adalah Timbalan Presiden Amanah dan Ahli Dewan Negara
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001