Quo vadis kepimpinan Melayu Islam?

Quo vadis kepimpinan Melayu Islam?

28/02/2025:

Oleh: Mohd Shah Abdullah

SEJAK sekian lama pemerintahan negara diterajui sebuah kerajaan yang berpaksikan Melayu-Islam yang kuat menaungi semua rakyat berbilang kaum, agama dan kepercayaan. Keamanan, kehamornian, ketenteraman, kemakmuran dan kestabilan tercipta sejak sekian lama.

Jika dihitung sejak kemerdekaan negara pada 1957, maka sudah menghampiri tujuh dekad negara ini terus diterajui sebuah kerajaan berteraskan Melayu-Islam.

Tiada kesangsian walaupun kerajaan berteraskan Melayu-Islam sebagai paksinya, rakyat daripada pelbagai kaum dan agama, semuanya dinaungi dan meraih manfaat secara langsung.

Mereka turut sama menikmati dividen keamanan, kesentosaan, kestabilan dan kemakmuran.

Tiada sekatan untuk mereka mengamalkan gaya hidup, kepercayaan agama, kegiatan berekonomi, perdagangan, mencipta kejayaan, dan mendapat peluang pendidikan seluas-luasnya.

Asal sahaja semua pihak termasuk bukan Melayu dan Islam memahami dan berpegang kepada lunas-lunas yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan, khususnya yang berkaitan Agama Islam, kedudukan Raja-Raja Melayu dan Bahasa Melayu.

Mengusik perkara ini secara sengaja apa lagi secara langsung pasti membangkitkan sensitiviti dan amarah, khususnya di kalangan umat Melayu beragama Islam.

Demikian bertukar ganti kerajaan selepas setiap pilihanraya umum (PRU), terakhir PRU-15 kita menyaksikan satu perubahan besar terhadap landskap politik tanah air.

Kini tiada lagi sebuah parti dominan menguasai sebuah kerajaan untuk membentuk majoriti mudah. Perkongsian kuasa menandakan kematangan demokrasi ditandai dengan pembentukan Kerajaan Perpaduan dibentuk usai PRU15.

Datuk Seri Anwar Ibrahim dipilih sebagai Perdana Menteri dan semua Jemaah Menteri dilantik di kalangan parti-parti yang bergabung di bawah Kerajaan Perpaduan (Pakatan Harapan dan gabungan Umno+), manakala Pas dan Bersatu bersama beberapa parti serpihan lain kekal di pihak pembangkang bernaung di bawah Perikatan Nasional (PN).

Satu hal yang jelas ialah naratif Melayu-Islam terus sahaja bergema dan bersenandung dimainkan oleh pihak lawan, khususnya PN yang diterajui Pas dan Bersatu yang melihat seolah-olah Kerajaan Perpaduan kini sudah hilang kepekaan untuk membela Islam dan orang Melayu secukupnya.

Naratif kebencian itu diterjemahkan sama ada dalam kenyataan terbuka pemimpin-pemimpin parti, media sosial (medsos) dan netizen serta ‘cybertroppers’ yang bebas bertali arus menghamburkan tuduhan, tohmahan serta dakyah mereka.

Kerajaan Perpaduan@Madani disifatkan sebagai kuda tunggangan kepada DAP, sebuah parti yang dianggap sendeng kepada perkauman Cina, ekstrim dan menggugat kedaulatan Melayu-Islam?

Bagaimana Umno yang sejak sekian lamanya sebuah parti berteraskan perjuangan Melayu dan Islam, wadah nasionalisme yang ketara ampuh kini boleh bersama dengan DAP juga gagal difahami rakyat, khususnya orang Melayu?

Benarkah demikian? Seorang pemimpin kanan Umno menjelaskan dengan tuntas bahawa tidak benar sama sekali Umno dan Kerajaan Madani membenarkan agenda Melayu-Islam dikesampingkan atau digadaikan.

Jauh dan meleset sekali dakwaan serta tohmahan demikian. Jika ada satu dua kenyataan pemimpin bukan Melayu cuba membidik teras-teras ketuanan Melayu dan Islam, itu bukan gambaran sebenar daripada bingkai naratif semangat pemimpin Melayu-Islam dalam Kerajaan Perpaduan mempertahankan kedaulautan Islam dan memperjuangkan agenda Melayu.

Pemimpin kanan Umno berkenaan yang sudah melalui jatuh bangun perjuangan bersama Umno konsisten mempertankan hal-hal berikut bagi menjelaskan kejituan iltizam mempertahankan agenda rakyat untuk membantu rakyat yang terpinggir dan memerlukan iltizam pembelaan, antaranya:

  • Membantu golongan B-40 untuk meringankan kos bebanan sara hidup. Perlu diingat bahawa sebilangan besar golongan B-40 adalah orang Melayu di kawasan bandar, luar bandar termasuk Sabah dan Sarawak.
  • Membantu golongan sasaran melalui Bantuan Tunai Rahmah dengan peningkatan sumbangan jauh lebih besar mulai 2025 berbanding tahun sebelum ini. Dalam Belanjawan 2025, kerajaan telah memperuntukkan RM13 bilion untuk bantuan Sumbagan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) terus meningkat berbanding RM10 bilion pada tahun 2024.

Memetik kata-kata Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim bahawa Kerajaan Madani tidak pernah sesekali mengabaikan kepentingan dan agenda Melayu, Bumiputera dan agenda rakyat terbanyak.

Menurut pemimpin kanan Umno berkenaan, apa faedah dan manfaatnya untuk Kerajaan Madani mengabaikan kehidupan rakyat, orang Melayu dan Islam serta menggadaikan kepentingan Islam yang sudah dijamin dalam Perlembagaan.

Malahan, Perdana Menteri sendiri menolak sebarang bentuk yang membawa fahaman ekstrimisme dan melampau yang boleh mengocak keamanan dan kestabilan yang dinikmati kini.

Teguran Perdana Menteri juga terhadap sikap cauvinis, melampau dan esktrim di kalangan pemimpin dan orang bukan Melayu yang boleh mengundang sentimen kebencian serta amarah di kalangan rakyat.

Fakta jelas menunjukkan dalam hal mempertahankan kemurnian syiar Islam dan sokongan berterusan terhadap penghayatan budaya ilmu amatlah jelas.

Sebenarnya sudah bertali arus ulama, cendekiawan, dan ilmuan ulung Islam bertaraf antarabangsa diundang hadir menyampaikan kuliah, berkongsi pandangan dan ilmu untuk memperkasa kefahaman umat Islam di Malaysia.

Kehadiran seperti yang terbaharu, Imam Masjid al-Aqsa, Syeikh Dr. Ekrima Sai’d Sabri; Menteri Wakaf Mesir, Syeikh Dr. Usamah al-Azhari; ulama terkemuka Yemen, Imam Habib Omar; dan mantan Mufti Besar Republik Islam Mesir, Profesor Dr. Ali Jumaah serta ramai lagi yang telah mengisi program Madani di kediaman rasmi Perdana Menteri di Putrajaya bukan sekadar simbolik semata-mata, tetapi kejelasan sikap atau pendirian tuntas Kerajaan Madani untuk mempertahankan kesucian syiar Islam menerusi penghayatan budaya ilmu.

Kewujudan institusi agama yang terus mekar dipelihara di peringkat Persekutuan hingga ke semua negeri tidak harus disangkal sama sekali.

Urusan petadbiran dan hal ehwal agama yang bernaung terus di bawah naungan Yang diPertuan Agong bagi negeri-negeri yang tidak beraja, manakala di negeri-negeri yang berada di bawah naungan Raja-Raja Melayu adalah testimoni jelas perlindungan terhadap kedaulatan Islam agar terpelihara daripada sebarang bentuk manipulasi, penyelewengan dan salah guna pihak tidak bertanggungjawab terhadap kesucian Islam.

Contoh mutakhir yang terbaik ialah keingkaran sesetengah khatib di negeri Perak untuk tidak membaca teks khutbah Jumaat yang disediakan Jabatan Hal Ehwal Islam Negeri Perak (JHEINP) sehingga mengundang murka dan teguran Sultan Nazrin Shah.

Sekiranya parti pembangkang seperti Pas dan Bersatu benar-benar ikhlas untuk memajukan negara, ia tidaklah sewenang-wenang mengkritik dan membidas semua perkara yang dilakukan Kerajaan Madani sebagai salah atau sengaja membangkitkan isu-isu bernada kebencian dan naratif perkauman.

Isu-isu agama pula terus dimainkan dan dimanipulasikan persis ungkapan “holier than thou” (aku lebih alim berbanding kamu), bahawa kita sahaja memiliki autoriti mutlak untuk menghukum menyalahkan orang lain.

Gejala dan sikap melampau inilah yang harus dicegah sebelum terlambat sehingga akhirnya nanti darah sesama orang Islam adalah halal untuk ditumpahkan, gejala takfiri dengan mengkafirkan saudara seagama semata-mata tidak sealiran dengan fikrah dan manhaj kita. Bunga-bunga itu sedang tumbuh dan membiak. Ia nyata berbahaya jika dibiarkan dan tidak disekat.

Maka, ikhtiar dan upaya Kerajaan Madani kini menjurus kepada sebuah pemerintahan yang mengambil jalan tengah, jalan kesederhanaan, menyatukan semua kaum dan penduduk, bersikap inklusif, mengukuhkan keupayaan ekonomi, memelihara kestabilan yang sudah berlangsung sejak sekian lama.

Naratif Melayu-Islam akan terus menjadi agenda utama Kerajaan Madani tanpa harus disangkal lagi.

Hasil pertemuan bersama pemimpin kanan Umno berkenaan jelas menampakkan betapa Kerajaan Madani ini harus dipertahankan untuk menjamin kelangsungan sebuah pemerintahan yang adil dan saksama dalam format landskap politik yang terus berubah pantas.

Rakyat jangan tersalah membuat pilihan, memilih jalan kehancuran, memusnahkan paksi teguh yang dibina di atas landasan demokrasi, musyawarah dan toleransi.

Ibarat menarik rambut dalam tepung, semua harus berhati-hati dan bertanya nurani yang suci, jika negara dan bangsa ini berantakan, siapakah yang untung? – ND

Mohd. Shah Abdullah adalah bekas wartawan Berita Harian (1990-1998) dan bekas Pensyarah Kanan Media dan Komunikasi.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *