SEPANG – Pantai Bagan Lalang di sini berpotensi besar menjadi destinasi pelancongan berasaskan aktiviti memancing.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Pelek, Lwi Kian Keong, berkata selain mempunyai pantai yang panjang dengan pelbagai spesies ikan, Bagan Lalang juga dilengkapi kemudahan lengkap untuk pelancong.
Beliau yang juga anak jati Sungai Pelek, berkata selain memancing di pantai, pengunjung juga boleh memancing di laut dalam menggunakan bot yang banyak tersedia, khususnya di Sungai Sepang Besar.
Semalam, pantai berkenaan dipenuhi lebih 600 peserta dari seluruh negara yang menyertai pertandingan memancing Cuti-Cuti Malaysia Surfcasting Tour @ Bagan Lalang.
“Banyak hotel di sini, gerai makan juga banyak, termasuk medan ikan bakar yang menawarkan juadah pelbagai spesies ikan bergred tinggi. Kita saksikan lebih 600 peserta dari seluruh negara datang ke sini bagi menyertai pertandingan memancing Cuti-Cuti Malaysia Surfcasting Tour @ Bagan Lalang.
“Ini memberi limpahan pendapatan kepada peniaga di pantai ini dan saya sangat menyokong aktiviti seperti ini diadakan lagi pada masa akan datang,” katanya ketika merasmikan majlis penutup pertandingan berkenaan yang dianjurkan Wakjali Event Management dengan kerjasama Ahli Majlis, Majlis Perbandaran Sepang (MPS) Zon Sepang Putra.
Pertandingan itu menyaksikan Suria Mat Sahar, 53, dari Kuala Selangor muncul juara apabila menaikkan ikan belukang 1.055 kilogram (kg), sekali gus membawa pulang hadiah wang tunai RM20,000.
Tempat kedua disandang Ardy Marnito, 29, dari Tanjung Sepat, dekat sini, yang menaikkan semilang 0.815kg, manakala Mohd Khairul Said, 37, dari Muar, Johor di tempat ketiga, juga dengan ikan semilang 0.52kg, masing-masing membawa pulang hadiah wang tunai RM4,000 dan RM2,000.
Majlis penutup turut dihadiri Ahli Majlis MPS Zon Sepang Putra, A Vijayarani; Pengasas Wakjali Event Management, Md Zali Kasran dan Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPPK) Bagan Lalang, Samsul Idham Mustafa Kamal.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001