KUALA LUMPUR – Datasonic Group Bhd menerima surat daripada Kementerian Dalam Negeri (KDN) membabitkan pelanjutan tempoh 12 bulan bagi kontrak sedia adanya.
Datasonic dalam satu kenyataan kepada Bursa Malaysia, berkata pelanjutan kontrak bagi tempoh 1 Disember 2024 hingga 30 November 2025, disertakan dengan nilai tambahan kontrak RM150.45 juta.
Surat berkenaan telah diterima menerusi anak syarikat milik penuhnya, Datasonic Technologies Sdn Bhd.
“Kontrak ini termasuk pembekalan dokumen pasport Malaysia kepada Jabatan Imigresen dan pembekalan 9.96 juta halaman biodata polikarbonat kepada jabatan berkenaan,” katanya.
Datasonic berkata, kontrak itu tertakluk kepada risiko perniagaan biasa, termasuk keadaan ekonomi keseluruhan, krisis pandemik, perubahan dalam peraturan kerajaan dan risiko operasi seperti peningkatan kos disebabkan peningkatan kos material dan terma kontrak berkaitan.
“Oleh itu, syarikat akan meletakkan langkah kawalan dan prosedur operasi bersesuaian bagi mengurangkan impak atau kemungkinan berlakunya kejadian sedemikian,” katanya.
Kontrak itu dijangka menyumbang secara positif terhadap pendapatan masa depan dan aset bersih sesaham Kumpulan Datasonic bagi tahun kewangan berakhir pada 31 Mac 2025 serta tahun kewangan selepas itu bagi tempoh kontrak.
Datasonic berkata, kontrak berkenaan tidak akan memberi kesan ke atas modal saham dan pegangan saham pemegang saham besar kumpulan Datasonic. – BERNAMA
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001