BERITA UTAMA
PERHILITAN temui kepala kijang dalam peti sejuk

PERHILITAN temui kepala kijang dalam peti sejuk

KUALA LUMPUR – Aktiviti haram dilakukan seorang lelaki tempatan memburu hidupan liar dilindungi terbongkar apabila anggota PERHILITAN menemui beberapa jenis daging haiwan itu disimpan dalam sebuah peti sejuk.

Modus operandi perburuan lelaki berusia 50 tahun itu ialah menembak mati dengan daging dan kepala haiwan liar itu disumbat dalam peti sejuk beku bersaiz besar di kediamannya di Pasir Mas, Kelantan.

Menurut Ketua Pengarah PERHILITAN, Datuk Abdul Kadir Abu Hashim, lelaki terbabit dikatakan aktif melakukan perburuan haram menggunakan dua senapang.

Katanya, kegiatan itu berjaya ditumpaskan tujuh pegawai PERHILITAN dibantu sepasukan anggota Cawangan Khas Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Puteh, Kelantan hasil serbuan ke kediaman suspek petang kelmarin.

“Dalam serbuan kira-kira jam 5.30 petang itu, anggota kami menemui sebuah peti sejuk beku di kediaman suspek.

“Pemeriksaan kemudian menemui tiga kepala haiwan dipercayai kepala kijang di dalam peti sejuk itu.

“Turut ditemui 65 bahagian daging dipercayai hidupan liar yang diburu suspek,” katanya.

Susulan itu pemeriksaan turut dilakukan ke atas pacuan roda milik suspek diletakkan di hadapan kediamannya.

“Pihak kami kemudian menemui dua laras senapang model Barreta, selain 171 butir peluru hidup dipercayai digunakan untuk memburu hidupan liar.

“Semua bahagian hidupan liar, peti sejuk beku, pacuan empat roda serta senjata api dianggarkan bernilai hampir RM100,000 itu disita,” katanya.

Beliau berkata, suspek turut ditahan untuk siasatan mengikut Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 [Akta 716].

“Operasi seumpama ini akan terus dipergiatkan PERHILITAN bagi membanteras kegiatan pemburuan haram haiwan liar dilindungi.

“Orang awam yang mempunyai maklumat atau ingin membuat aduan sebarang kes boleh menghubungi talian hotline Jabatan Perhilitan 1-800-88-5151,” katanya.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *