Angkasawan China pecah rekod pengembaraan angkasa lepas

Angkasawan China pecah rekod pengembaraan angkasa lepas

BEIJING – Dua angkasawan China berjaya melengkapkan rekod dunia pengembaran di angkasa atau ‘space walk’ selama lebih sembilan jam, menurut kenyataan Agensi Angkasa Manusia China, pada minggu ini.

Kejayaan itu menandakan satu lagi peristiwa penting bagi program angkasa lepas Beijing yang berkembang pesat.

Rekod baharu perjalanan di angkasa lepas itu dilakukan oleh Cai Xuzhe dan Song Lingdong di luar stesen angkasa Tiangong dalam orbit Bumi rendah pada Selasa.

Ia sekurang-kurangnya empat minit lebih lama berbanding rekod terakhir yang dicatat oleh angkasawan Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Kebangsaan (NASA), James Voss dan Susan Helms pada 2001.

Menurut seorang kakitangan dari Pusat Penyelidikan dan Latihan Angkasawan China, Wu Hao, kedua-dua angkasawan dari misi Shenzhou-19 China itu memakai sut angkasa Feitian untuk menjalankan pelbagai tugas di bahagian luar stesen, termasuk pemasangan peranti perlindungan serpihan angkasa.

“Mereka berjaya menyelesaikan semua tugas yang dirancang dan berasa sangat teruja mengenainya,” katanya kepada stesen penyiar negeri, China Central Television.

Bekas Kesatuan Soviet pada 1965 menjadi negara pertama melakukan pengembaraan di angkasa lepas.

Sejak itu, Russia dan Amerika Syarikat (AS) menjalankan beratus-ratus misi sedemikian, terutama di luar Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS) untuk tugasan seperti pemasangan panel solar sehinggalah penyelidikan bahan.

Perjalanan di ruang angkasa lepas pertama oleh angkasawan China dilakukan pada 2008.

Pencapaian angkasawan China itu dilakukan ketika beberapa pencapaian lain di angkasa lepas turut dicatat, yang meningkatkan persaingan lumba angkasa lepas Beijing dengan AS.

China mendaratkan rover (kenderaan pemantau) pertamanya di Marikh pada 2021 dan awal tahun ini, menjadi negara pertama yang mendapatkan sampel batu dari bahagian paling jauh yang berbahaya di bulan, menerusi misi Chang’e-6.

Beijing menyasarkan 2030 untuk mendaratkan angkasawan pertamanya di bulan, untuk menjadi manusia kedua selepas AS yang menjejakkan kaki di sana.

Beijing juga berjaya menarik minat kira-kira 12 negara untuk program Stesen Penyelidikan Lunar Antarabangsanya, salah satu usaha untuk membina pangkalan di kutub selatan bulan.

Program itu bersaing dengan program Artemis NASA, yang bertujuan untuk membawa angkasawan AS ke bulan buat kali kedua, selepas misi Apollo terakhir pada tahun 1972. – REUTERS)

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *