Artis popular Kelantan yang dipenjarakan tidak alami tekanan

Artis popular Kelantan yang dipenjarakan tidak alami tekanan

NARATHIWAT (SELATAN THAILAND) – Tiada sebarang aduan dikemukakan oleh enam rakyat Malaysia sepanjang berada dalam penjara, lapor pihak penjara Wilayah Narathiwat, Thailand.

Menurut Pengarahnya, Superintendan Surin Chanthep, sepanjang lebih 50 hari berada di situ, mereka tidak mengalami tekanan dan kemurungan.

Kata beliau, prosedur operasi standard (SOP) yang dilaksanakan di penjara itu mengikut peraturan Bangkok yang telah digariskan khusus untuk banduan wanita.

“Kami sentiasa bertanya khabar kepada tahanan berkenaan, dan tiada sebarang aduan dikemukakan mereka,” katanya kepada beberapa wakil media dari Kelantan yang diberi kebenaran eksklusif melawat Penjara Wilayah Narathiwat, Thailand, semalam.

Mengulas lanjut mengenai artis wanita berkenaan, Surin berkata, pada awalnya tidak dinafikan wanita itu mengalami tekanan.

Namun, katanya, selepas sesi kaunseling dan kelas agama yang diadakan, mereka berjaya menangani masalah itu.

Sementara itu, artis wanita popular Kelantan itu berkata, layanan diterima di penjara tersebut sangat baik dan tidak seperti dikatakan oleh pihak di luar sana.

“Banduan beragama Islam dibenarkan solat dan mendalami ilmu agama serta makanan yang dibekalkan juga halal,” katanya.

Penjara Narathiwat kini menempatkan 2,860 banduan, dengan 95 peratus daripadanya adalah banduan Muslim, manakala 85 peratus kes melibatkan kesalahan penyalahgunaan dadah.

Pada 1 November lalu, enam warga Malaysia berusia antara 25 hingga 34 tahun ditahan dalam satu serbuan oleh Bahagian Narkotik Balai Polis Sungai Golok di sebuah hotel berhampiran Sungai Golok sekitar jam 5 pagi atas kesalahan pemilikan dadah.

Hasil siasatan polis mendapati suspek dipercayai memiliki 6,000 biji pil kuda dan turut disabitkan kesalahan memasuki Thailand tanpa dokumen sah. – ND

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *