KUALA LUMPUR – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa hari ini menafikan satu kenyataan media berhubung adendum penahanan rumah dikeluarkan pihaknya.
Berita Harian melaporkan Dr. Zaliha sebagai berkata, kenyataan itu adalah palsu dan tidak pernah dikeluarkan olehnya.
“Ini adalah satu tindakan yang tidak bertanggungjawab.
“Saya akan mengambil tindakan undang-undang kepada sesiapa yang mengeluarkan dan menyebarkan kenyataan media palsu ini,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Polemik mengenai adendum kembali tular sejurus titah adendum dikatakan diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong ke-16 yang membolehkan Datuk Seri Najib Razak menjalani baki hukuman penjaranya di bawah tahanan rumah.
Pada 22 Oktober lalu, Mahkamah Rayuan menetapkan 5 Disember depan untuk mendengar rayuan Najib berhubung keputusan Mahkamah Tinggi menolak permohonan bagi memulakan semakan kehakiman mencabar kewujudan Titah Adendum.
Titah Adendum itu didakwa dititah oleh Yang di-Pertuan Agong ke-16 bagi membolehkan Najib menjalani baki hukuman penjara sebagai tahanan di rumah.
Pada 3 Julai lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan Najib, 71, untuk memulakan prosiding semakan kehakiman ke atas lapan responden bagi mencabar kewujudan Titah Adendum itu, selepas berpendapat empat afidavit bagi menyokong permohonan Najib, termasuk oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Naib Presidennya, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail adalah bersifat dengar cakap atau khabar angin.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252