JPK 2.0 Daripada Strategi Kepada Tindakan

Oleh: Ir. Ts. Dr. Kamaruzaman Md. Ali

DALAM dunia pekerjaan yang berubah dengan pantas, kemahiran tidak lagi boleh dilihat sekadar sebagai hasil akhir sesuatu latihan. Kemahiran perlu diterjemahkan kepada keupayaan melaksanakan pekerjaan, meningkatkan produktiviti dan membina laluan kerjaya yang lebih baik.

Atas kesedaran inilah gagasan JPK 2.0 diperkenalkan untuk memperkukuh peranan Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) dalam membentuk ekosistem kemahiran negara yang lebih responsif, bersepadu dan berorientasikan masa hadapan.

JPK 2.0 bukan usaha menggantikan mandat atau sistem sedia ada. Sebaliknya, gagasan ini merupakan evolusi kepada asas kukuh yang telah dibangunkan oleh JPK melalui pembangunan Standard Kemahiran Pekerjaan Kebangsaan (NOSS), pentauliahan program dan Pusat Bertauliah, pelaksanaan penilaian dan verifikasi, pembangunan personel, jaminan kualiti serta penganugerahan Sijil Kemahiran Malaysia.

📞 Heda: +6014-808 8897 | 💬 Iqi: +6010-924 2335

Keseluruhan fungsi tersebut membentuk rantaian nilai teras JPK yang merangkumi standard, latihan, penilaian dan persijilan. Namun, perubahan teknologi, automasi, kecerdasan buatan, peralihan tenaga, ekonomi hijau dan kemunculan model pekerjaan baharu menuntut JPK untuk melihat lebih jauh daripada rantaian nilai tersebut.

Sebelum sesuatu standard dibangunkan, kita perlu memahami perubahan yang sedang berlaku dalam industri. Apakah teknologi baharu yang sedang digunakan? Bagaimanakah pekerjaan dan skop tugas berubah? Apakah kompetensi yang semakin diperlukan?

Selepas seseorang memperoleh persijilan, kita juga perlu mengetahui sama ada kompetensi tersebut digunakan dalam pekerjaan, diiktiraf oleh majikan, membantu individu memasuki pasaran kerja dan membuka ruang kepada perkembangan kerjaya.

Maklum balas industri seterusnya perlu digunakan untuk menambah baik standard, latihan, penilaian dan persijilan.

📞 +6019-936 9846 (Sharifah) | 💬 WhatsApp Tempahan
📍 3062 Taman Indah, Jalan Banggol, 17500 Tanah Merah, Kelantan

Dengan pendekatan ini, rantaian nilai JPK berkembang menjadi satu ekosistem yang menghubungkan industri, standard, kompetensi, persijilan, pekerjaan, perkembangan kerjaya dan maklum balas industri.

Maklum balas tersebut disalurkan kembali ke dalam sistem bagi mencetuskan penambahbaikan berterusan. Inilah yang dimaksudkan dengan closed loop skills ecosystem atau ekosistem kemahiran kitaran tertutup. JPK bukan sekadar mengeluarkan sijil.

Kita mahu memastikan setiap persijilan membuktikan kompetensi yang relevan, dipercayai dan mempunyai nilai kepada individu, industri serta negara.

Tiga objektif yang menentukan arah

Kerangka JPK 2.0 dibangunkan berasaskan tiga objektif, tiga pemacu strategik dan tujuh inisiatif kritikal. Objektif menentukan arah, pemacu strategik membina keupayaan, manakala inisiatif kritikal menterjemahkan keupayaan kepada tindakan.

Tiga objektif JPK 2.0 dapat difahami melalui tiga kata kerja utama, iaitu REVOLUSI — READ, LEAD — TRANSLATE dan SHAPE — CREATE VALUE.

REVOLUSI — READ membawa aspirasi supaya JPK mampu membaca perubahan industri, teknologi, pekerjaan dan permintaan kemahiran dengan lebih awal serta sistematik. Hubungan dengan industri telah lama menjadi kekuatan JPK.

Namun, kita mahu meningkatkan hubungan tersebut daripada sekadar libat urus kepada keupayaan mengesan dan mentafsir perubahan industri secara berterusan.

Apabila teknologi baharu digunakan, kita tidak boleh sekadar mengetahui bahawa teknologi tersebut wujud. Kita perlu memahami bagaimana perubahan teknologi mempengaruhi pekerjaan, mengubah skop tugas, mewujudkan keperluan kemahiran baharu dan akhirnya menuntut tindak balas terhadap standard kompetensi pekerjaan.

LEAD — TRANSLATE pula merujuk kepada keupayaan JPK menterjemahkan isyarat industri kepada respons kemahiran negara. JPK mempunyai jentera teras yang merangkumi NOSS, sistem penilaian dan verifikasi, persijilan, Pusat Bertauliah, personel Sistem Persijilan Kemahiran Malaysia (SPKM), CIAST, MySPIKE serta jaringan kerjasama industri.

Melalui mandat dan rangkaian ini, JPK dapat mengenal pasti kompetensi yang diperlukan, menilai kerelevanan standard sedia ada dan menterjemahkan keperluan baharu kepada latihan, penilaian serta persijilan.

Memimpin tidak bermaksud JPK perlu melakukan segala-galanya secara bersendirian. JPK perlu menyelaras respons kemahiran bersama-sama industri, penyedia latihan, agensi kerajaan dan rakan strategik.

SHAPE — CREATE VALUE memberikan perhatian kepada nilai yang terhasil daripada kompetensi dan persijilan. Sijil ialah bukti seseorang telah mencapai kompetensi yang ditetapkan, tetapi nilai sebenar kompetensi hanya dapat dilihat apabila ia digunakan, diiktiraf oleh majikan serta menyokong pekerjaan, mobiliti dan perkembangan kerjaya.

JPK 2.0 membawa kita daripada sekadar mengukur jumlah persijilan sebagai output kepada usaha memahami hasil dan nilai kemahiran dalam pasaran buruh.

Tiga pemacu strategik

Bagi merealisasikan objektif tersebut, JPK 2.0 memberikan penekanan kepada Industry Pulse — SENSE, Skills Dignity — VALUE dan Future Build — ANTICIPATE.

Industry Pulse bertujuan memperkukuh keupayaan JPK mengesan perkembangan industri secara berterusan. Kita mahu meningkatkan hubungan industri daripada industry engagement kepada industry sensing dan seterusnya menghasilkan industry intelligence.

JPK perlu memahami teknologi yang sedang digunakan, perubahan struktur tenaga kerja, kemunculan kompetensi baharu, kekurangan kemahiran dan perubahan sesuatu pekerjaan.

Skills Dignity membawa aspirasi meningkatkan pengiktirafan, keterlihatan dan kepercayaan terhadap kemahiran. Majikan perlu yakin persijilan JPK membuktikan kompetensi yang boleh dipercayai. Individu pula perlu melihat hubungan yang jelas antara kemahiran, pekerjaan, mobiliti dan perkembangan kerjaya.

Kemahiran bukan pilihan kedua. Kemahiran ialah laluan profesional yang mempunyai nilai kepada individu, industri dan negara.

Future Build memastikan JPK bukan sahaja memahami keperluan semasa, malah mampu menjangkakan perubahan masa hadapan. Standard, sistem persijilan, platform digital serta keupayaan tenaga pengajar dan personel perlu sentiasa berkembang selaras dengan perubahan teknologi, industri dan sifat pekerjaan.

Tujuh inisiatif kritikal

Tujuh inisiatif kritikal JPK 2.0 bukanlah projek yang bergerak secara berasingan. Semuanya merupakan komponen yang saling melengkapi untuk membentuk satu ekosistem kemahiran bersepadu.

Melalui JPK Skills Intelligence Capability, JPK berhasrat menghubungkan isyarat industri, maklumat pasaran buruh, data pekerjaan, data penawaran TVET, kemahiran baharu dan trend teknologi.

Matlamatnya bukan sekadar membangunkan papan pemuka, tetapi memastikan data diproses menjadi dapatan, kecerdasan dan tindakan yang menyokong keputusan secara tepat.

National Skills Credential and Certification Infrastructure akan memperkukuh pembangunan kelayakan kemahiran yang bersifat digital, dipercayai, boleh disahkan dan mudah dibawa sepanjang perjalanan kerjaya seseorang.

Melalui Skills Value Index and Skills Passport, kemahiran individu akan dilihat sebagai portfolio kompetensi yang terus berkembang, bukan sebagai satu sijil yang statik. Pada masa yang sama, nilai sesuatu kemahiran dapat difahami berdasarkan permintaan, kekurangan kemahiran dan nilai dalam pasaran buruh.

Professional Skills Pathway and Green and Sustainable Skills Framework akan menyediakan laluan perkembangan kompetensi dan kerjaya yang lebih jelas, di samping memastikan sistem kemahiran negara bersedia menyokong ekonomi hijau, kelestarian dan peralihan tenaga.

Pengukuhan CIAST sebagai Flagship and Referred Institute pula penting kerana transformasi sistem tidak hanya bergantung pada standard dan teknologi. Pengajar, penilai dan personel TVET perlu meningkatkan keupayaan seiring dengan perubahan kompetensi. CIAST akan terus diperkukuh sebagai pusat rujukan kecemerlangan, inovasi dan pembangunan keupayaan dalam ekosistem TVET.

Menerusi Global Skills Recognition and Mobility Programme, JPK berhasrat memperluas pengiktirafan kompetensi serta mobiliti pemegang persijilan kemahiran merentas industri, sektor dan negara.

Sementara itu, MySPIKE NextGen perlu dilihat lebih besar daripada usaha menaik taraf sistem teknologi maklumat. MySPIKE NextGen berpotensi menjadi tulang belakang digital yang menghubungkan standard, kompetensi, persijilan, individu, Pusat Bertauliah, personel dan data berkaitan dalam satu ekosistem kemahiran.

Tanggungjawab bersama warga JPK

JPK 2.0 tidak mengurangkan kepentingan fungsi sedia ada. Setiap bahagian dan pegawai mempunyai fungsi serta kepakaran masing-masing dalam pembangunan standard, pentauliahan, persijilan, jaminan kualiti, pembangunan personel, pengurusan sistem dan data, hubungan industri serta penguatkuasaan.

Namun, JPK 2.0 memberikan sudut pandang yang lebih luas atau wider periscope angle tentang hubungan antara fungsi tersebut. Setiap warga JPK perlu memahami kedudukan tugas masing-masing dalam rantaian nilai, mengenal pasti fungsi lain yang berkait dengan tugas tersebut dan menentukan hasil yang perlu dicapai secara bersama.

JPK 2.0 bukan agenda satu bahagian atau satu pasukan projek. JPK 2.0 ialah seni bina bersama seluruh organisasi. Daripada aspirasi kepada tindakan

JPK 2.0 perlu dilihat sebagai evolusi kepada sistem yang telah kita bina. JPK sudah mempunyai mandat, kepakaran, hubungan industri, sistem persijilan, rangkaian Pusat Bertauliah, tenaga pengajar dan personel serta platform digital.

JPK 2.0 memberikan arah tentang bagaimana semua keupayaan ini boleh dihubungkan, diperkukuh dan digerakkan secara lebih strategik.

Pelan Strategik JPK 2026–2030 dan inisiatif kritikal JPK 2.0 akan bergerak seiring sebagai pemangkin untuk memperkukuh kedudukan JPK dalam ekosistem TVET negara dan antarabangsa.

Kita perlu bergerak daripada strategi kepada tindakan, daripada data kepada kecerdasan, daripada libat urus kepada keupayaan mengesan perubahan, daripada sijil kepada nilai kemahiran serta daripada sistem yang berasingan kepada ekosistem kemahiran yang saling berhubung.

Inilah semangat JPK 2.0 iaitu bukan sekadar mahu melakukan lebih banyak perkara, tetapi melakukan perkara yang lebih tepat, lebih bersepadu dan lebih berimpak. 

Ir. Ts. Dr. Kamaruzaman Md. Ali ialah Ketua Pengarah Jabatan Pembangunan Kemahiran Kementerian Sumber Manusia September 2026

Telegram: Nasional Daily

Facebook: Nasional Daily

TikTok: NasionalDaily

Whatsapp: NasionalDaily.com

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *