KLUANG – Seorang ibu bersama dua anak lelakinya maut terperangkap dalam kejadian kebakaran sebuah rumah teres dua tingkat di Taman Titiwangsa, di sini, malam tadi.
Dalam kejadian sekitar jam 10.44 malam itu, mangsa yang maut dikenal pasti sebagai Noraini Ibrahim, 49, serta dua anaknya, Khairul Nurhaziqq Khairulnizam, 18, dan Khairul Nurhadiff, 11.
Ketiga-tiga mangsa dipercayai terperangkap dalam rumah ketika kebakaran berlaku sebelum disahkan meninggal dunia oleh petugas Kementerian Kesihatan (KKM) yang berada di lokasi kejadian.
Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Johor dalam kenyataan memaklumkan, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada jam 10.44 malam.
Susulan laporan berkenaan, seramai 14 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kluang bergegas ke lokasi dan tiba kira-kira lima minit kemudian.
“Kebakaran melibatkan sebuah rumah teres dua tingkat berkeluasan 16 kaki x 70 kaki, dengan kira-kira 50 peratus struktur rumah terbakar.
“Terdapat tiga mangsa terperangkap dalam rumah dan semua mereka disahkan meninggal dunia oleh pihak KKM yang berada di lokasi,” menurut kenyataan itu.
Pasukan bomba kemudian menjalankan operasi pemadaman dengan menggunakan dua aliran air membabitkan dua pancutan bagi memastikan api tidak terus merebak ke bahagian lain rumah serta kediaman berhampiran.
📍 3062 Taman Indah, Jalan Banggol, 17500 Tanah Merah, Kelantan
Kebakaran berjaya dikawal sepenuhnya pada jam 12.32 tengah malam.
Dalam operasi itu, JBPM turut menggerakkan dua jentera Sistem Tindak Balas Kecemasan (SITRAK) dan sebuah Unit Perkhidmatan Penyelamatan Perubatan Kecemasan (EMRS).
Pihak berkuasa kini dijangka menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti punca kebakaran serta keadaan sebenar yang menyebabkan ketiga-tiga mangsa gagal menyelamatkan diri.
Telegram: Nasional Daily
Facebook: Nasional Daily
TikTok: NasionalDaily
Whatsapp: NasionalDaily.com
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
