Helikopter yang pernah dinaiki Tony Aiden, kini membawa kenangan pahit sebuah tragedi

BERITA mengenai tragedi helikopter yang terhempas beberapa hari lalu bukan sekadar satu lagi berita nahas buat bekas doktor Kementerian Kesihatan (KKM), Tony Aiden.

Berita itu terasa terlalu dekat, terlalu peribadi. Lebih menggetarkan hati, kira-kira 11 hingga 12 tahun lalu, Tony pernah berada di dalam helikopter yang sama – pesawat dengan nombor pendaftaran 9M-LLF – yang kini menjadi sebahagian daripada kisah duka selepas terhempas dalam tragedi berkenaan.

“When I saw the news, it felt personal. It could have been any one of us,” kata Tony meluahkan kisah sedih dan pengalamannya menerusi akaun Facebooknya, Tony Aiden.

Kata-kata itu cukup menggambarkan perasaan seorang doktor yang pernah melalui sendiri perjalanan udara membawa pesakit dari kawasan pedalaman Borneo, dalam keadaan yang kadangkala hanya dipisahkan antara hidup dan mati.

📞 Heda: +6014-808 8897 | 💬 Iqi: +6010-924 2335

Tony pernah bertugas di Hospital Daro, Sarawak antara 2013 hingga 2015. Ketika itu, menaiki pesawat dan helikopter bukan sesuatu yang luar biasa baginya. Sebaliknya, ia sebahagian daripada tugas.

Beliau kerap terlibat dalam penerbangan FDS dan misi pemindahan perubatan atau medevac, termasuk membawa pesakit tenat dari Hospital Daro ke Hospital Sibu yang mempunyai kemudahan rawatan lebih lengkap.

Di atas kertas, ia mungkin kelihatan seperti sebuah perjalanan dari satu hospital ke hospital lain. Namun, bagi seorang doktor yang berada di dalam pesawat bersama pesakit, setiap minit perjalanan itu mempunyai cerita tersendiri.

Ada masa pesakit masih mempunyai harapan. Ada masa keadaan berubah hanya dalam beberapa minit, dan ada ketika doktor sendiri terpaksa berdepan dengan hakikat ruang untuk berbuat lebih banyak amat terbatas.

📞 +6019-936 9846 (Sharifah) | 💬 WhatsApp Tempahan
📍 3062 Taman Indah, Jalan Banggol, 17500 Tanah Merah, Kelantan

Antara kenangan yang paling kuat melekat dalam ingatan Tony ialah dua penerbangan membawa bayi pramatang yang beratnya hanya sekitar 600 hingga 900 gram. Kedua-duanya berada dalam keadaan diintubasi. Tubuh kecil, tetapi perjuangan untuk hidup begitu besar.

“Perjalanan seperti itu bukan mudah, ibarat menggenggam ‘semengat’, bak kata orang Iban.”

Hari ini, lebih sedekad selepas pengalaman itu, Tony masih teringatkan kedua-dua bayi berkenaan. Sesekali fikirannya kembali kepada persoalan yang mungkin tidak pernah terjawab. Apakah mereka selamat? Adakah mereka membesar? Adakah mereka kini sudah menjadi kanak-kanak yang sihat seperti kanak-kanak lain?

“Mungkin kedua-dua bayi itu sudah besar sekarang, membesar seperti kanak-kanak lain,” katanya.

Kenangan itu mungkin sudah lama tersimpan dalam satu sudut kehidupannya. Namun, tragedi helikopter beberapa hari lalu seolah membuka kembali semuanya.

Kembali kepada bunyi enjin. Kembali kepada ruang sempit dalam kabin. Kembali kepada pesakit yang terbaring dan bergantung kepada rawatan. Kembali kepada debaran apabila melihat bacaan tanda-tanda vital mula berubah.

Tony turut mengingati beberapa penerbangan membawa pesakit yang sangat tenat. Di udara, keadaan boleh berubah pada bila-bila masa. Tekanan darah mula jatuh. Paras oksigen semakin menurun, dan ketika itu, seorang doktor berdepan dengan cabaran yang tidak mungkin dirasai oleh mereka yang berada di bilik rawatan biasa.

Ruang di dalam pesawat atau helikopter amat terhad. Pergerakan terbatas. Kemudahan untuk melakukan resusitasi secara optimum juga tidak sama seperti di hospital.

“Bila berada di udara dan vital signs mula merosot – BP semakin rendah, oxygen saturation semakin rendah – perasaan itu sukar digambarkan.

“Ruang dalam pesawat atau helikopter sangat sempit dan pilihan untuk melakukan resuscitation secara optimum juga amat terhad.”

Dalam keadaan seperti itu, katanya, seorang petugas perubatan hanya mampu memastikan segala yang termampu dilakukan. Selebihnya, mereka berserah kepada Tuhan, dan berdoa.

Menariknya, dalam detik-detik genting itu, doa seorang doktor mungkin bukan terus untuk dirinya sendiri. Doa pertama adalah agar pesakit sempat sampai. Selamat tiba di Hospital Sibu, mendapat rawatan dan mempunyai satu lagi peluang untuk hidup.

“Pada waktu itu, doa pertama adalah untuk keselamatan pesakit.

“Selepas itu barulah teringat untuk berdoa agar kami sendiri selamat sampai.”

Barangkali di situlah letaknya sisi manusia yang jarang terlihat di sebalik pekerjaan seorang petugas kesihatan.

Di darat, mereka mungkin hanya dilihat sebagai doktor, jururawat atau pegawai perubatan, tetapi di udara, jauh dari hospital dan kemudahan lengkap, mereka adalah manusia biasa yang turut berdepan ketakutan. Namun, mereka tetap pergi, kerana ada pesakit yang menunggu.

Tony berkata, sesiapa yang pernah bekerja di Borneo pasti memahami cabaran yang dihadapi petugas kesihatan di kawasan pedalaman. Jarak yang jauh. Cuaca tidak menentu. Kawasan sukar diakses dan sumber yang terhad. Namun, apabila ada pesakit yang memerlukan bantuan, mereka tetap datang.

“Healthcare workers still show up.” Ayat ringkas ini membawa makna yang besar, kerana bagi petugas kesihatan di pedalaman, tugas mereka bukan semata-mata menunggu pesakit datang ke hospital.

Ada waktunya mereka perlu pergi mencari pesakit. Ada waktunya mereka perlu meredah jarak dan cuaca, serta ada waktunya mereka perlu menaiki helikopter atau pesawat untuk membawa seseorang yang mungkin hanya mempunyai satu peluang terakhir untuk terus hidup.

Sebab itu, kata Tony, tragedi yang berlaku beberapa hari lalu begitu menyentuh hatinya. Mereka yang terkorban pergi menjalankan tugas, pergi dengan uniform, pergi untuk membantu orang lain dan mereka berkhidmat sehingga ke penghujung hayat.

“They were not merely doing a job. They were carrying treatment, hope and sometimes someone’s last chance to live.” Itulah yang membuat tragedi tersebut begitu menyayat hati.

Di sebalik sebuah helikopter yang terhempas, ada manusia, ada keluarga yang menunggu kepulangan, ada rakan sekerja yang mungkin pernah duduk semeja, berkongsi cerita dan menjalankan tugas bersama, dan ada pesakit yang mungkin pernah diselamatkan oleh tangan-tangan yang kini sudah tiada.

Tony yang kini tidak lagi bersama KKM mungkin sudah meninggalkan kehidupan tersebut. Namun, pengalaman di pedalaman Sarawak tidak pernah benar-benar meninggalkannya. Kenangan itu kekal menjadi sebahagian daripada dirinya.

Tragedi ini mengingatkannya semula kepada risiko yang ditanggung begitu ramai petugas kesihatan setiap hari, jauh dari perhatian masyarakat, jauh dari kamera, malah kadangkala jauh dari keluarga sendiri.

Mereka terus bergerak kerana seseorang memerlukan pertolongan. Mereka menaiki kenderaan, bot, pesawat dan helikopter kerana jarak bukan alasan untuk membiarkan pesakit tanpa rawatan.

Dalam banyak keadaan, masyarakat mungkin hanya melihat hasil akhirnya – pesakit tiba di hospital dan menerima rawatan. Apa yang berlaku sebelum itu jarang diketahui.

Tidak ramai melihat debaran seorang doktor ketika bacaan oksigen pesakit semakin jatuh di udara. Tidak ramai mengetahui betapa sempitnya ruang untuk melakukan resusitasi.

Tidak ramai tahu dalam perjalanan yang panjang itu, seorang doktor mungkin berdoa terlebih dahulu untuk pesakit sebelum memikirkan keselamatan dirinya sendiri, dan tidak ramai menyedari di sebalik setiap misi medevac, ada sekumpulan manusia mengambil risiko supaya orang lain mempunyai peluang untuk terus hidup.

Hari ini Tony tidak lagi menaiki helikopter itu sebagai doktor KKM. Namun, apabila melihat tragedi yang berlaku, jarak masa lebih sedekad seolah hilang. Helikopter yang pernah dinaikinya dahulu kini menghubungkan satu kenangan lama dengan sebuah tragedi baharu.

Bezanya, kali ini Tony hanya mampu melihat dari jauh. Mengenang, dan berdoa.

“Salam takziah yang sedalam-dalamnya kepada keluarga, sahabat dan rakan sekerja semua yang terkorban.

“Semoga diberikan kekuatan dan ketabahan menghadapi kehilangan yang begitu berat.”

Bagi Tony, pengorbanan mereka tidak sepatutnya berakhir bersama tragedi itu. Mereka mungkin telah pergi, tetapi kisah keberanian mereka perlu terus diceritakan, kerana di pedalaman, ada petugas yang sanggup meninggalkan keselesaan demi pesakit.

Ada doktor sanggup berada di udara ketika keadaan pesakit semakin merosot, ada manusia bekerja dalam diam, jauh daripada perhatian umum, tetapi memikul tanggungjawab begitu besar, dan ada mereka yang pada akhirnya tidak sempat pulang.

“Walaupun saya sudah tidak bersama KKM, pengalaman dan kenangan berkhidmat di pedalaman akan sentiasa menjadi sebahagian daripada diri saya.

“Tragedi ini mengingatkan saya kepada risiko yang diambil oleh begitu ramai petugas kesihatan setiap hari, jauh dari pandangan orang ramai, semata-mata untuk memastikan pesakit tidak ditinggalkan.”

Mungkin itulah warisan paling besar yang ditinggalkan mereka, bukan sekadar sebuah penerbangan, bukan sekadar sebuah misi, tetapi keberanian untuk pergi ketika orang lain memerlukan pertolongan.

Dan, keberanian itu seperti kata Tony, tidak seharusnya pernah dilupakan. Semoga jasa, keberanian dan pengorbanan mereka terus hidup dalam ingatan kita. – Olahan semula dari FB Tony Aiden

Telegram: Nasional Daily

Facebook: Nasional Daily

TikTok: NasionalDaily

Whatsapp: NasionalDaily.com

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *