BERITA UTAMA
Tanah kubur mangsa 13 Mei: Tidak boleh warta tanpa dialog penglibatan awam – Sekretariat AIR

Tanah kubur mangsa 13 Mei: Tidak boleh warta tanpa dialog, penglibatan awam – Sekretariat AIR

SHAH ALAM – Sekretariat Angkatan Islah Rakyat (AIR) bimbang dan kesal dengan keputusan kerajaan Selangor mewartakan tanah kubur di belakang Masjid Jamek Ibnu Sina, Mukim Batu Gombak sebagai kawasan perkuburan bukan Islam.

Jurucakap AIR dalam kenyataan kepada NasionalDaily malam ini berkata, pelantikan Persatuan Sahabat Warisan Kuala Lumpur dan Selangor (PESAWA), iaitu NGO bukan Islam bagi memelihara kawasan kubur itu menimbulkan kesangsian dan rasa kurang senang umat Islam.

“Kawasan perkuburan itu turut mempunyai sejumlah kubur orang Islam, tetapi kerajaan negeri telah mewartakan sebagai kawasan perkuburan bukan Islam pada 5 September lalu.

“Ini berlaku disebabkan tiada sebarang dialog atau penglibatan awam dibuat sepanjang proses pewartaan kawasan kubur tersebut.

“Sedangkan, dialog atau penglibatan awam adalah penting untuk dilaksanakan, malah selari dengan hasrat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai salah satu tatakelola baik yang dituntut dalam pentadbiran Kerajaan Madani,” katanya.

Semalam, portal atas talian melaporkan, satu pertubuhan warisan diberikan hak menguruskan kawasan perkuburan mangsa tragedi 13 Mei 1969 di Sungai Buloh, yang dikatakan digazet kerajaan Selangor sebagai perkuburan bukan Islam.

PESAWA dilaporkan berkata, pihaknya berhasrat mengadakan perbincangan menjadikan perkuburan itu sebagai kawasan warisan negara.

Setiausaha PESAWA Law Jing berkata, kumpulan itu merancang mengadakan upacara peringatan tahunan dan ceramah pendidikan bertujuan memupuk persefahaman dan perdamaian bersama dalam kalangan rakyat.

Law Jing berkata, pengiktirafan kawasan berkenaan diperoleh selepas empat tahun diusahakan, susulan kebimbangan ia berkemungkinan dijadikan kawasan letak kereta.

Mengulas lanjut, AIR menjelaskan, tatakelola baik ini juga adalah selari dengan konsep yang dibawa oleh badan dunia iaitu Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDP).

Katanya, menurut UNDP, tatakelola merujuk kepada pelaksanaan perintah atau kuasa mencakupi antaranya bidang ekonomi, politik dan pentadbiran melibatkan pengurusan hal ehwal negara di semua peringkat.

“Bagi memperincikan konsep tatakelola ini, Sekretariat AIR menegaskan bahawa tindakan Pejabat Daerah dan Tanah Gombak (PTDG) khususnya dan kerajaan Selangor amnya tidak menggambarkan pelaksanaan mekanisme, proses dan penglibatan awam agar masyarakat berkepentingan dapat mengguna serta menyatakan hak tertentu dengan jelas dan sah, selain yang paling penting mengurangkan jurang perbezaan antara pihak autoriti dengan masyarakat.

“Justeru, Sekretariat AIR meminta agar satu perjumpaan dengan pihak PTDG diadakan bagi mendapatkan penjelasan berhubung isu ini,” katanya.

Untuk rekod, Sekretariat AIR merupakan gabungan NGO melibatkan Pertubuhan Pemerkasaan Identiti Malaysia (IDENTITI), Gerakan Pengundi Sedar (GPS) dan Peguam Prihatin Keadilan (CLJ). – ND

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *