BERITA UTAMA
Isu dwibahasa: Perkasa kecam Menteri Pelancongan utama kehendak pelancong asing

Isu dwibahasa: Perkasa kecam Menteri Pelancongan utama kehendak pelancong asing

KUALA LUMPUR – Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) mempersoalkan kenyataan Menteri Pelancongan, Tiong King Sing yang mewakili pelancong asing mempertikaikan papan tanda dwibahasa di ibu kota.

Ketua Penerangannya, Irwan Fahmi Ideris berkata, amat malang bagi Malaysia mempunyai seorang menteri yang tidak menjiwai Perkara 152 sebagaimana terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan, iaitu kedudukan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

Beliau juga mempersoalkan adakah benar pelancong asing mendakwa Malaysia sebuah negara rasis atau ekstrem agama atau hanya sekadar rekaan semata-mata.

“Mustahil menteri sudah lupa, dia mengangkat sumpah jawatan di hadapan Yang di-Pertuan Agong yang berbangsa Melayu dan beragama Islam.

“Sepatutnya dia ada kesedaran untuk memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa Kebangsaan. Sudahlah sebelum ini sup tulang babi (bak kut teh) telah diwartakan sebagai makanan warisan. Kali ini tidak setuju pula dengan bahasa Melayu pula.

“Menteri Pelancongan harus sedar, ini negara Malaysia. Negara ini maju bukan bantuan pelancong asing. Ramai lagi pelancong daripada negara lain datang dan tidak pernah pertikaikan penggunaan bahasa ibunda,” tegasnya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Semalam, King Sing dalam kenyataannya mempertikaikan tindakan penguatkuasaan mengenai peraturan papan tanda dwibahasa oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Beliau memberi alasan, tindakan itu mengakibatkan tindak balas emosi dan melampaui batas sehingga menimbulkan rasa tidak puas hati serta wujud persepsi negatif dalam kalangan pelancong.

Irwan Fahmi berkata, Perkasa hairan kenapa menteri terbabit beriya sangat menolak bahasa Melayu dan mahu menggunakan bahasa asing, sedangkan banyak pelancong dari Jepun, Korea, India dan Timur Tengah boleh menerima penggunaan dwibahasa.

“Di mana identiti negara kita jika hampir seluruh negara mempunyai tanda bahasa dari negara asing?

“Penguatkuasaan papan tanda dwibahasa amat penting kerana ini adalah imej Malaysia dan sebagai menteri, sepatutnya dia bertanggungjawab untuk mengetengahkan identiti negara ke persada dunia.

“Ini termasuklah kebudayaan pelbagai masyarakat, bukan hanya menumpukan budaya satu satu etnik atau kaum tertentu sahaja,” ujar beliau.

Katanya, Perkasa tegas menyokong segala usaha kerajaan dalam memartabatkan bahasa kebangsaan di semua sektor, termasuk pelancongan dan semoga Malaysia menjadi negara contoh kepada yang lain dalam mengekalkan identiti tersendiri. – ND

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *