KUALA LUMPUR – Bekas Menteri dan veteran politik, Tan Sri Annuar Musa tampil mempertahankan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor dengan menegaskan ucapan pemimpin itu telah disalah tafsir dan dipetik di luar konteks sehingga menimbulkan persepsi seolah mengandungi unsur perkauman.
Menurut Annuar, beliau mengikuti keseluruhan ucapan Sanusi dan berpendapat tidak timbul sebarang kenyataan yang sengaja mengguris perasaan mana-mana kaum atau mempertikaikan kedudukan rakyat pelbagai bangsa di negara ini.
Sebaliknya, beliau berkata, inti pati ucapan itu adalah menyeru orang Melayu supaya terus bersatu padu dalam mempertahankan tanah air serta memupuk semangat cintakan negara atau hubbul watan, bukannya meniup sentimen kebencian terhadap kaum lain.
“Saya mendengar keseluruhan ucapan Datuk Seri Sanusi. Jelas tidak timbul isu kononnya beliau sengaja mengguris hati mana-mana kaum di Malaysia.
“Ucapan beliau adalah dalam konteks perlunya orang Melayu bersatu padu mempertahankan tanah air yang menjadi tanah asal turun-temurun mereka. Ia hanyalah satu seruan yang bersifat nasionalisme dan semangat cintakan tanah air, tidak lebih daripada itu,” katanya dalam satu kenyataan.
Annuar berkata, Sanusi yang juga Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) merupakan seorang pemimpin yang dikenali sebagai bersikap terbuka dan tidak pernah membawa fahaman perkauman sempit.
Beliau menegaskan, sebagai pemimpin PAS, Sanusi berpegang kepada prinsip Islam yang menolak sama sekali amalan asabiyah atau perkauman.
Katanya, kenyataan mengenai tanah asal sesuatu bangsa bukanlah perkara luar biasa kerana setiap kaum di dunia mempunyai tanah leluhur masing-masing tanpa menafikan hak atau kewarganegaraan masyarakat lain.
Beliau memberi contoh bangsa Inggeris di England, Scotland bagi bangsa Scottish, Wales bagi bangsa Welsh dan Denmark bagi bangsa Danish yang masing-masing mempunyai negara asal keturunan mereka walaupun ramai daripada keturunan bangsa tersebut kini menjadi warganegara negara lain.
“Sanusi tidak pernah menyebut atau mempertikaikan soal kesetiaan, kerakyatan mahupun kewarganegaraan rakyat Malaysia daripada kaum lain.
“Sebagai seorang yang mempunyai latar belakang ilmu sejarah, saya percaya Menteri Besar Kedah amat memahami hakikat tersebut,” katanya.
Menurut Annuar, apa yang berlaku sebenarnya ialah ucapan berkenaan telah diputar belit sehingga membawa maksud yang jauh menyimpang daripada mesej asal, sekali gus mencetuskan persepsi Sanusi mempertikaikan kesetiaan kaum lain terhadap negara.
Beliau menyifatkan tanggapan sedemikian sebagai tidak benar sama sekali.
Dalam pada itu, Annuar turut mengaitkan isu tersebut dengan sejarah politik negara apabila menyatakan PAS dan UMNO merupakan antara parti politik yang telah wujud sebelum negara mencapai kemerdekaan, memainkan peranan dalam proses pembinaan negara dan pembentukan Perlembagaan Persekutuan.
Katanya, kedua-dua parti berkenaan telah mentadbir negara serta memimpin masyarakat berbilang kaum selama beberapa dekad tanpa membawa fahaman perkauman yang sempit.
“PAS dan UMNO telah memerintah rakyat pelbagai kaum sejak puluhan tahun. Tidak timbul fahaman perkauman sempit dalam kedua-dua parti tersebut.
“Saya berpendapat bibit-bibit perkauman yang lebih ketara mula muncul dalam era politik selepas tahun 1965 apabila beberapa parti baharu diwujudkan dan sentimen itu ditiup secara lebih halus sehingga kesannya masih dirasai sehingga hari ini,” katanya.
Beliau turut menegaskan, usaha menyeru orang Melayu supaya bersatu dan mengukuhkan perpaduan tidak seharusnya disalah tafsir sebagai ancaman kepada kaum lain.
Sebaliknya, beliau berpandangan perpaduan masyarakat Melayu adalah antara asas penting kepada kestabilan politik dan keamanan negara yang akhirnya memberi manfaat kepada seluruh rakyat tanpa mengira kaum.
“Orang Melayu yang bersatu padu adalah teras kestabilan negara. Melalui kestabilan itulah keamanan dan kemakmuran dapat dinikmati oleh semua kaum.
“Semua kaum mempunyai kepentingan terhadap perpaduan orang Melayu kerana ia menjadi faktor penting dalam memastikan negara terus aman dan harmoni,” katanya.
Pada masa sama, beliau menggesa semua pihak supaya tidak terperangkap dengan usaha pihak tertentu yang didakwa cuba mencetuskan kebencian kaum melalui tafsiran menyimpang terhadap ucapan pemimpin politik.
Annuar turut mendakwa, pengalaman pemerintahan melibatkan PAS dan UMNO, termasuk kerjasama di bawah Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN) telah membuktikan gabungan tersebut berupaya mentadbir negara majmuk dengan lebih baik.
Menurutnya, keharmonian masyarakat berbilang kaum perlu terus dipelihara melalui pendekatan berteraskan saling menghormati, perpaduan nasional dan kefahaman terhadap sejarah pembentukan negara, bukannya dengan memanipulasi kenyataan pemimpin bagi mencetuskan polemik perkauman.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L