NILAI – Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW) memperkenalkan hala tuju baharu organisasi menerusi falsafah “Eagle View – Melihat Lebih Jauh, Bertindak Lebih Tegas” sebagai kerangka strategik untuk memperkukuhkan usaha pencegahan rasuah secara lebih proaktif, berkesan dan berimpak sepanjang penggal 2026 hingga 2029.
Presidennya, Jais Abdul Karim berkata, falsafah baharu itu menjadi panduan kepada seluruh kepimpinan dan ahli MCW dalam memperkasa peranan pertubuhan sebagai sebuah badan masyarakat sivil yang komited mempromosikan budaya integriti, ketelusan dan tadbir urus baik di negara ini.
Menurut beliau, hala tuju tersebut diperkenalkan sempena Mesyuarat Agung Tritahunan MCW Kali Keempat (MATT4) 2026 yang berlangsung di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) semalam.
Katanya, konsep “Eagle View” melambangkan pendekatan lebih menyeluruh dalam mengenal pasti isu-isu berkaitan rasuah, salah guna kuasa dan kelemahan tadbir urus, selain membolehkan organisasi bertindak secara lebih strategik dalam memperjuangkan agenda antirasuah.
“Falsafah ini menjadi panduan baharu MCW dalam memperkasakan usaha pencegahan rasuah agar lebih proaktif dan memberi impak kepada masyarakat.
“Kita mahu melihat isu rasuah dari perspektif lebih luas dan memastikan setiap tindakan diambil mampu menyumbang kepada pembentukan sistem pentadbiran lebih telus, berintegriti serta bertanggungjawab,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, sepanjang penggal baharu ini, MCW akan terus memperkukuhkan amalan tadbir urus berteraskan integriti, ketelusan dan kebebasan institusi melalui kepimpinan beretika, mekanisme semak dan imbang berkesan serta budaya akauntabiliti dalam setiap aspek pentadbiran.
Menurutnya, organisasi itu juga akan memperluaskan peranannya dalam meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan memerangi rasuah melalui program pendidikan, advokasi, penyelidikan dasar dan kerjasama strategik dengan pelbagai pihak.
Terdahulu, Mesyuarat Agung Tritahunan MCW Kali Keempat itu telah disempurnakan oleh Ahli Dewan Negara merangkap Ahli Jawatankuasa Khas Parlimen Mengenai Rasuah, Senator Datuk Seri Prof. Emeritus Dr. Awang Sariyan.
Selain mesyuarat agung, program berkenaan turut menampilkan sesi khas bersama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) serta Sesi Dialog Eksekutif yang menghimpunkan pelbagai pihak berkepentingan bagi membincangkan usaha memperkukuhkan landskap integriti dalam kalangan masyarakat madani.
Jais berkata, kerjasama erat antara badan masyarakat sivil, agensi penguat kuasa, institusi pendidikan dan sektor swasta amat penting bagi memastikan agenda membanteras rasuah dapat dilaksanakan secara menyeluruh serta berterusan.
Dalam pada itu, beliau menyeru seluruh ahli MCW supaya terus memainkan peranan sebagai rakan strategik kepada masyarakat dengan menyalurkan maklumat berkaitan rasuah dan salah guna kuasa melalui saluran sah serta mengikut lunas undang-undang.
Katanya, setiap ahli juga perlu mengekalkan prinsip profesionalisme, kebebasan dan sikap tidak berpihak dalam menjalankan tanggungjawab sebagai pemerhati serta penyokong kepada usaha memperkukuhkan integriti negara.
“MCW akan terus berdiri sebagai sebuah organisasi bebas, profesional dan berprinsip dalam memperjuangkan tadbir urus bersih demi kepentingan rakyat dan negara,” katanya.
Sebagai simbol komitmen terhadap perjuangan membanteras rasuah, MCW turut memperkenalkan Ikrar 5B MCW yang akan menjadi pegangan seluruh ahlinya sepanjang penggal kepimpinan baharu.
Ikrar tersebut menggariskan lima komitmen utama, iaitu berazam menjauhi rasuah dalam apa jua bentuk, berusaha menambah ilmu berkaitan integriti dan tadbir urus, berani melaporkan salah guna kuasa melalui saluran sah, mempertahankan kepentingan rakyat serta sentiasa mematuhi undang-undang dan etika organisasi.
Menurut MCW, pengenalan falsafah “Eagle View – Melihat Lebih Jauh, Bertindak Lebih Tegas” bersama Ikrar 5B mencerminkan iltizam pertubuhan itu untuk terus memperkukuhkan peranannya sebagai antara organisasi masyarakat sivil aktif menyokong agenda nasional memperkasakan integriti, mempertingkat ketelusan serta membudayakan penolakan terhadap rasuah dalam semua sektor.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L