BERITA UTAMA
Pengawal Keselamatan dibebaskan dari tuduhan ugutan jenayah

Pengawal Keselamatan bebas dari tuduhan ugutan jenayah

KOTA BHARU – Seorang pengawal keselamatan boleh menarik nafas lega hari ini apabila Mahkamah Majistret Kota Bharu melepaskan beliau dari pertuduhan melakukan ugutan jenayah sekitar Mei lalu.

Tertuduh, Ab. Kadir Ismail, 59, yang bekerja sebagai Pengawal Keselamatan di tapak pembinaan ECRL di Melor, Kelantan dituduh melakukan ugutan jenayah terhadap seorang pemandu lori, Mohamad Imran dengan mengancam untuk mendatangkan kecederaan kepada mangsa.

Beliau dituduh di bawah seksyen 506 Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman penjara 7 tahun atau denda, atau kedua-duanya sekali.

Keputusan dibacakan oleh Majistret Ahmad Syafiq Aizat Nazri selepas pihak Pendakwaraya memohon untuk menarik balik pertuduhan terhadap tertuduh berikutan satu representasi dibuat oleh peguam kepada pihak pendakwaan.

Beliau ketika kejadian bekerja sebagai Pengawal Keselamatan di tapak pembinaan ECRL sewaktu didatangi oleh mangsa yang memandu lori tanah dan mengambil tanah di dalam kawasan pembinaan tanpa kebenaran.

Tertuduh apabila mengetahui tanah dalam kawasan pembinaan cuba dicuri telah memarahi dan menghalau mangsa keluar dari kawasan pembinaan.

Menurut tertuduh, adalah menjadi kewajipan beliau sebagai Pengawal Keselamatan untuk menjaga harta benda majikannya, iaitu syarikat yang menjalankan pembinaan ECRL untuk tidak membenarkan apa-apa barang diambil atau dibawa keluar dari kawasan pembinaan itu tanpa kebenaran syarikat.

Beliau kemudian membuat laporan polis mengenai kejadian kecurian tanah dalam kawasan pembinaan tersebut dan berdasarkan siasatan mendapati beliau hanya menjalankan tugas sebagai Pengawal Keselamatan ketika kejadian.

Beliau yang ditemui kesal dengan kejadian kerana ada pihak yang tidak bertanggungjawab membuat laporan polis terhadapnya semata-mata kerana marah, sedangkan beliau hanya menjalankan tugas.

Tertuduh diwakili peguambela Nik Saiful Adli Burhan. – ND

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *