KUALA LUMPUR – Bekas Ketua UMNO Bahagian Cheras, Datuk Seri Syed Ali Alhabshee mendakwa kenyataan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berhubung istilah “Tanah Melayu”, telah dimanipulasi pihak tertentu bagi meraih keuntungan politik, sambil menegaskan fakta sejarah tidak seharusnya dipadam atau dijadikan bahan polemik.
Menurut beliau, sejarah negara perlu dinilai secara objektif berasaskan fakta, bukan diseleweng atau ditafsir mengikut kepentingan politik semasa.
Katanya, kenyataan Muhammad Sanusi bahawa “Tanah Melayu” merupakan tanah air orang Melayu sewajarnya difahami dalam konteks sejarah, bukan terus dilabel sebagai bersifat perkauman atau bermotif politik.
“Saya tidak nampak bagaimana ucapan Menteri Besar Kedah itu boleh ditafsirkan sebagai berbau politik dan perkauman.
“Saya juga tidak menyokong atau memihak kepada hujah Muhammad Sanusi, tetapi saya mengajak semua pihak, khususnya pemimpin Melayu, tidak mempolitikkan setiap isu secara berlebihan semata-mata untuk mengambil hati pihak tertentu,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Syed Ali berkata, fakta mengenai kemasukan masyarakat Cina dan India ke Tanah Melayu pada zaman penjajahan British bagi memenuhi keperluan ekonomi kolonial adalah sebahagian daripada sejarah yang pernah diajar di sekolah dan tidak wajar dinafikan.
Beliau berpandangan, kenyataan Muhammad Sanusi perlu dilihat dalam kerangka sejarah negara, bukan dimanipulasi untuk membina naratif politik atau meraih sokongan, terutama ketika kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan sedang berlangsung.
Dalam masa sama, beliau melahirkan rasa kesal terhadap tindakan segelintir pemimpin Melayu yang mengkritik kenyataan berkenaan tanpa memahami konteks sebenar ucapan tersebut.
“Mempertahankan hak orang Melayu tidak sepatutnya terus dianggap sebagai tindakan berunsur perkauman, sebaliknya perlu dinilai berdasarkan latar sejarah dan semangat Perlembagaan Persekutuan,” katanya.
Pada 24 Julai lalu, Muhammad Sanusi dilaporkan berkata, Malaysia merupakan satu-satunya Tanah Melayu yang menjadi tanah air orang Melayu, manakala kaum lain mempunyai negara asal masing-masing seperti China dan India.
Beliau yang juga Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) berkata demikian ketika berucap pada Ceramah Perdana PN sempena PRN Negeri Sembilan di Jempol.
Kenyataan itu bagaimanapun mencetuskan pelbagai reaksi daripada pemimpin politik, khususnya daripada Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH).
Semalam, Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mengingatkan semua pemimpin politik supaya tidak menyentuh isu berkaitan etnik, agama, budaya dan latar belakang kaum lain sepanjang tempoh berkempen bagi mengelakkan salah faham serta memelihara keharmonian masyarakat.
Menurut beliau, Malaysia dibina atas asas masyarakat berbilang kaum dan budaya, justeru setiap pihak perlu menghormati sensitiviti antara satu sama lain.
Sementara itu, Muhammad Sanusi pada Sabtu turut mempertahankan kenyataannya mengenai “Tanah Melayu” dengan mendakwa ucapannya telah diputar belit oleh pihak tertentu bagi tujuan politik.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L