KUALA LUMPUR – Perikatan Nasional (PN) menegaskan tiada sebarang arahan atau sekatan dikenakan ke atas mana-mana pemimpinnya untuk turun berkempen pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan, termasuk Pengarah Pilihan Raya PN, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor.
Pengerusi PN, Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, dakwaan kononnya Menteri Besar Kedah itu dihalang daripada berkempen tidak berasas kerana kepimpinan gabungan berkenaan tidak pernah mengeluarkan sebarang arahan sedemikian.
Menurut beliau, kehadiran Muhammad Sanusi di Negeri Sembilan bergantung kepada kelapangan masa memandangkan beliau masih memikul tanggungjawab sebagai Menteri Besar Kedah, di samping menggalas tugas sebagai Pengarah Pilihan Raya PN.
“Kita tidak ada halangan. Tidak ada sebarang ‘gag order’ kepada sesiapa pun,” katanya kepada pemberita selepas pelancaran Manifesto PN Negeri Sembilan di Kompleks Pas Negeri Sembilan (KOMPAS), Kampung Ampangan.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang mempersoalkan keperluan Muhammad Sanusi turun berkempen di Negeri Sembilan.
Mengulas perkara itu, Ahmad Samsuri berkata, pandangan Presiden UMNO tersebut diambil maklum, namun keputusan sama ada Muhammad Sanusi akan hadir berkempen bergantung sepenuhnya kepada jadual dan komitmen beliau.
“Itu pandangan beliau sebagai Pengerusi BN. Kita ambil maklum dan saya percaya ia bergantung kepada Sanusi sama ada beliau dapat datang atau tidak selepas ini.
“Kerana sama seperti saya, beliau juga seorang Menteri Besar. Selain berkempen politik, kami masih mempunyai tanggungjawab mentadbir negeri masing-masing. Jika beliau berkelapangan, beliau akan datang,” katanya.
Ahmad Samsuri turut menolak tanggapan kehadiran Muhammad Sanusi mampu menjejaskan peluang PN pada PRN Negeri Sembilan.
Sebaliknya, beliau berkata, masyarakat perlu menilai setiap kenyataan pemimpin itu berdasarkan konteks sebenar, bukannya petikan yang dipilih secara terpisah sehingga mengubah maksud asal.
Beliau turut mengingatkan, Muhammad Sanusi sebelum ini telah menyatakan hasrat untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap mana-mana pihak yang didakwa memutarbelitkan fakta atau memesongkan kenyataan beliau.
Semalam, Ahmad Zahid dilaporkan mengingatkan Muhammad Sanusi supaya tidak memainkan isu berkaitan kaum dan agama sepanjang tempoh berkempen bagi PRN Negeri Sembilan.
Beliau berkata, sekiranya PN berhasrat menjalinkan kerjasama politik pada masa hadapan, pendekatan lebih berhemah perlu diambil tanpa membangkitkan isu yang boleh mencetuskan polemik.
Ahmad Zahid turut berpandangan, Muhammad Sanusi lebih wajar memberi tumpuan kepada tanggungjawabnya sebagai Menteri Besar Kedah sehingga tamat proses pilihan raya, selain menyerahkan urusan kempen di Negeri Sembilan kepada calon-calon yang bertanding.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L