DHPP pertahan Sanusi, dakwa ucapan dipetik di luar konteks dan gesa hentikan manipulasi politik

KUALA LUMPUR – Dewan Himpunan Pendukung PAS (DHPP) menggesa semua pihak menghentikan tindakan memanipulasi ucapan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berhubung kenyataan “Cina ada China, India ada India”, dengan menegaskan kenyataan itu telah dipetik di luar konteks sehingga mencetuskan pelbagai persepsi yang boleh menggugat keharmonian masyarakat.

Dalam satu kenyataan media hari ini, Ketua DHPP Pusat, Kumaresan BK berkata, polemik yang tercetus susulan ucapan tersebut tidak seharusnya dijadikan bahan politik sehingga menimbulkan tanggapan Sanusi merujuk kepada masyarakat Cina dan India yang merupakan rakyat Malaysia.

Menurut beliau, tafsiran sedemikian adalah tidak tepat kerana ucapan berkenaan tidak pernah menyasarkan rakyat Malaysia daripada kaum Cina atau India, sebaliknya telah disalah tafsir oleh pihak tertentu.

“DHPP ingin menegaskan bahawa ucapan tersebut tidak seharusnya dimanipulasi seolah-olah YAB Menteri Besar merujuk kepada masyarakat Cina dan India yang merupakan rakyat Malaysia.

“Ucapan yang dipetik secara terpilih dan ditafsirkan di luar konteks hanya akan mengelirukan masyarakat serta mengundang persepsi yang tidak menggambarkan maksud sebenar kenyataan tersebut,” katanya.

Beliau berkata, sebagai sebuah negara yang dibina atas kepelbagaian kaum dan agama, semua pihak perlu memahami rakyat Malaysia terdiri daripada pelbagai latar belakang etnik yang mempunyai kedudukan sama sebagai warganegara.

Katanya, masyarakat Cina dan India di Malaysia adalah sebahagian daripada rakyat negara ini yang mempunyai hak untuk hidup, bekerja, berniaga dan menyumbang kepada pembangunan negeri serta negara tanpa sebarang keraguan terhadap kedudukan mereka.

“Malaysia ialah sebuah negara majmuk yang dihuni oleh masyarakat Melayu, Cina, India serta pelbagai kaum lain. Semua rakyat mempunyai hak sama untuk bersama-sama membangunkan negara dan menikmati keamanan yang dikecapi selama ini,” katanya.

Sehubungan itu, DHPP menyeru semua pihak supaya tidak mengambil kesempatan daripada kontroversi tersebut dengan memutarbelitkan kenyataan pemimpin politik demi meraih keuntungan politik jangka pendek.

Menurut Kumaresan, sebarang perbezaan pandangan sewajarnya dibincangkan secara rasional, matang dan berasaskan fakta, bukannya dieksploitasi sehingga menimbulkan sentimen perkauman yang boleh menjejaskan perpaduan rakyat.

“Perbezaan pandangan adalah lumrah dalam sistem demokrasi. Namun, ia perlu diurus secara berhemah dan berdasarkan fakta, bukannya dijadikan alat untuk membangkitkan kebencian antara kaum atau mencetuskan perpecahan dalam masyarakat,” katanya.

Beliau turut berpandangan, gesaan supaya pihak berkuasa menjalankan siasatan atau mengambil tindakan terhadap Sanusi hanya berdasarkan petikan ucapan yang telah ditafsirkan mengikut sudut tertentu perlu dinilai secara bertanggungjawab.

Katanya, tindakan sedemikian berisiko mewujudkan persepsi tidak adil sekiranya keseluruhan konteks ucapan tidak diambil kira sebelum sebarang tindakan dipertimbangkan.

“Kita tidak seharusnya membiarkan perbezaan politik menjadi alasan untuk menggugat keharmonian masyarakat atau mewujudkan ketegangan dalam kalangan rakyat.

“Sebarang tindakan perlu dibuat secara adil dan berdasarkan keseluruhan fakta, bukan sekadar bersandarkan petikan yang telah dipisahkan daripada konteks asal,” katanya.

Dalam pada itu, Kumaresan berkata, DHPP akan terus komited memainkan peranan sebagai jambatan yang mengukuhkan hubungan antara masyarakat pelbagai kaum dan agama selaras dengan matlamat penubuhannya.

Beliau menegaskan, DHPP percaya Malaysia adalah milik bersama seluruh rakyat tanpa mengira kaum, agama mahupun latar belakang politik, justeru usaha memperkukuhkan persefahaman dan saling menghormati perlu terus dipelihara.

“DHPP sentiasa komited memperkukuhkan hubungan antara masyarakat pelbagai kaum dan agama. Kami percaya Malaysia adalah milik bersama semua rakyatnya tanpa mengira kaum dan latar belakang.

“Kami menyeru semua pihak menghentikan budaya memanipulasi kenyataan demi kepentingan politik sempit. Marilah kita bersama-sama menjaga keharmonian, menghormati perbezaan serta meletakkan kepentingan rakyat Malaysia sebagai keutamaan,” katanya.

Beliau turut mengingatkan, persaingan politik tidak sepatutnya mengorbankan perpaduan nasional yang telah dibina sekian lama.

“Jangan kerana perbezaan politik, keharmonian rakyat menjadi taruhan,” katanya.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *