BERITA UTAMA
Boeing bakal berhentikan 2,500 pekerja di AS

Boeing bakal berhentikan 2,500 pekerja di AS

SYARIKAT penerbangan terkemuka Amerika Syarikat, Boeing, bakal memberhentikan lebih 2,500 pekerja di beberapa negeri termasuk Washington, Oregon, Carolina Selatan dan Missouri.

Langkah pemecatan itu dikatakan sebagai sebahagian daripada rancangan untuk mengurangkan 17,000 tenaga kerja globalnya, iaitu kira-kira 10 peratus daripada jumlah keseluruhan.

Menurut dokumen sumber manusia, hampir 2,200 pekerja di Washington serta 220 lagi di Carolina Selatan telah menerima notis pemberhentian kerja.

Kedua-dua negeri tersebut merupakan lokasi utama bagi pembuatan pesawat komersial Boeing.

Syarikat tersebut enggan memberikan komen mengenai langkah pemberhentian ini.

Bagaimanapun, Boeing memaklumkan pekerja yang terjejas akan kekal dalam senarai gaji sehingga 17 Januari depan bagi mematuhi syarat persekutuan yang mewajibkan pemberitahuan sekurang-kurangnya 60 hari sebelum penamatan pekerjaan.

Langkah itu tidak mengejutkan kerana pemberian notis melalui pemberitahuan pelarasan dan latihan semula pekerja (WARN) sudah dijangkakan.

Satu lagi pusingan pemberhentian dijangka pada Disember depan.

Boeing juga berkemungkinan menggunakan kaedah seperti pengurangan semula jadi tenaga kerja, pengambilan pekerja secara terpilih, serta penjualan anak syarikat untuk mencapai matlamat pemotongan tenaga kerja.

Bulan lalu, Ketua Pegawai Eksekutif Boeing baharu, Kelly Ortberg berkata, syarikat tidak berhasrat untuk mengurangkan kakitangan dalam bahagian pengeluaran atau makmal kejuruteraan.

Bagaimanapun, ramai pemerhati industri menunggu notis untuk mengetahui kesan pemberhentian terhadap pekerja di hab pembuatan utama Boeing.

Menurut Kesatuan Pekerja Profesional Kejuruteraan dan Aeroangkasa, seramai 438 anggota kesatuan di Boeing menerima notis pemberhentian minggu lalu, termasuk 218 jurutera dan 220 juruteknik.

Di St. Louis, Persatuan Pakar Mesin dan Pekerja Aeroangkasa Antarabangsa (IAM) Lodge 837 mengesahkan Boeing menghantar notis kepada 111 ahli mereka, kebanyakannya terlibat dalam pembuatan komponen sayap pesawat 777-X.

Pemberhentian ini berlaku ketika Boeing sedang berusaha untuk memulakan semula pengeluaran pesawat 737 Max yang menjadi produk jualan utama syarikat.

Ia susulan mogok selama beberapa minggu oleh lebih 33,000 pekerja di pantai barat AS yang menghentikan operasi kebanyakan pesawat komersialnya.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *