KUALA LUMPUR – Kementerian Kerja Raya (KKR) komited untuk menjalin hubungan yang erat bersama pengamal media dalam usaha menyampaikan berita sahih kepada rakyat.
Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, tanpa peranan media, sudah tentu rakyat sukar memahami cabaran dihadapi kerajaan dalam menjayakan sesebuah projek.
Mengulas perkara itu, beliau memberikan contoh pelaksanaan projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah lebih lambat berbanding di Sarawak kerana berlaku perebutan dalam kalangan kontraktor untuk mendapatkan tender.
“Saya ambil contoh Pan Borneo Highway, mengapa di satu tempat lancar pelaksanaannya tapi di tempat lain sukar. Sebenarnya bukan isu besar tapi banyak perkara berbangkit misalnya ada ketidaksamaan dalam perolehan utiliti, perbezaan undang-undang di Sabah dan Sarawak dan beberapa punca lain, sebab itu kita kena bagi rakyat faham,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Borak Santai Menteri dan Timbalan Menteri Kerja Raya bersama pengarang serta pengamal media di Kuala Lumpur pada Selasa.
Majlis itu dihadiri Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Ahmad Maslan dan Ketua Setiausaha KKR Datuk Seri Azman Ibrahim bersama 25 pegawai lain daripada KKR serta agensi berkaitan bagi menzahirkan penghargaan terhadap pengamal media.
Dalam masa sama, Alexander turut memuji pengamal media di negara ini kerana mengamalkan etika kewartawanan yang tinggi selain menghargai kesungguhan wartawan dalam menyampaikan berita dengan cepat dan tepat.
“Saya juga sering tekankan kepada pasukan kementerian dan agensi di bawah KKR untuk beri kerjasama baik kepada media dan memastikan segala inisiatif baik untuk rakyat dapat kita perluas.
“Jadi, marilah kita bersama-sama main peranan kerana tanggungjawab kita ini adalah untuk rakyat Malaysia,” ujarnya.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252