PETALING JAYA – Sebuah kumpulan hak asasi manusia menggesa Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) ditubuhkan untuk meneliti pembaharuan Jabatan Imigresen, selepas berlaku keganasan dan penderaan menyebabkan 131 pendatang tanpa izin melarikan diri dari Depot Imigresen Bidor 1 Februari lalu.
Suara Rakyat Malaysia (Suaram) berkata, RCI – seperti yang ditubuhkan untuk reformasi polis pada 2005 – perlu untuk menangani faktor sistemik secara menyeluruh, dalam perundangan dan amalan yang menyebabkan keadaan memudaratkan berterusan.
Pengarah Eksekutifnya, Sevan Doraisamy berkata, laporan keganasan, keadaan pusat tahanan kotor, akses penjagaan kesihatan terhad dan pemerasan ditekankan secara konsisten oleh kumpulan hak asasi manusia serta media.
Beliau berkata, keadaan itu berlaku walaupun Jabatan Imigresen menyatakan ia mematuhi piawaian antarabangsa dalam rawatan dan penjagaan kesihatan tahanan serta peraturan dalam mengendalikan depot imigresen.
Menurutnya, kebergantungan Jabatan Imigresen kepada justifikasi prosedur terus menjejaskan sebarang usaha ke arah akauntabiliti sebenar.
“Penderaan ini diburukkan lagi oleh kekurangan keutamaan sumber yang kronik untuk memperbaiki keadaan tahanan, xenofobia dan pelarian serta pencari suaka bimbang negara enggan mengiktiraf status kumpulan rentan ini melalui penyertaan Konvensyen Pelarian 1951.
“Aktivis seperti Heidy Quah dan mendiang Irene Fernandez yang menentang keadaan ini berdepan gangguan kehakiman serta ugutan, menunjukkan sejauh mana sistem itu melenyapkan kritikan sementara pelaku terus bertindak tanpa hukuman.
Menurutnya, penolakan Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution Ismail terhadap penemuan laporan bebas, seperti yang dibuat oleh Human Rights Watch berhubung penderaan di Pusat Tahanan Imigresen hanya menyebabkan kitaran ini berterusan – membantutkan pembaharuan yang amat diperlukan.
Sevan turut meminta Saifuddin memastikan Jabatan Imigresen melaksanakan segera syor Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) berhubung tindakan tatatertib terhadap pegawai terbabit dalam penindasan di Bidor, dengan usaha ini didedahkan demi ketelusan dan akauntabiliti.
Rabu lalu, EAIC mengeluarkan laporan menyatakan penderaan terhadap tahanan bermula antara 2020 dan 2021 apabila mereka pada mulanya ditempatkan di Kem Wawasan Negara di Langkawi sebelum dipindahkan ke pelbagai depot Imigresen, termasuk Bidor.
Menurutnya, beberapa pegawai Imigresen di depot tahanan Bidor, termasuk dua yang ditempatkan di kem Langkawi sebelum ini, didapati melakukan keganasan melampau, penderaan fizikal dan mental terhadap tahanan Rohingya sehingga mendatangkan bahaya kepada mereka.
Penemuan suruhanjaya itu turut menyentuh kecuaian kakitangan Imigresen, pemantauan serta infrastruktur tidak mencukupi di depot Bidor sebagai faktor menyumbang kepada Pati melarikan diri.
Ketua Pengarah Imigresen, Zakaria Shaaban berkata, jabatan itu akan menunggu laporan komprehensif EAIC sebelum mengambil sebarang tindakan, menekankan langkah tegas akan diambil terhadap mereka yang didapati bersalah melakukan keganasan atau penderaan.
EAIC yang ditubuhkan pada 2011 ialah badan berkanun persekutuan ditugaskan untuk menyiasat dan menjalankan pendengaran ke atas aduan terhadap kira-kira 20 agensi penguatkuasaan.
Awal tahun ini, EAIC berkata kebanyakan daripada 529 aduan diterimanya tahun lalu berkaitan Jabatan Imigresen. – ND
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252