BERITA UTAMA
Gelombang dari bot nelayan punca bot regata karam, kata polis

Gelombang dari bot nelayan punca bot regata karam, kata polis

KUCHING – Kejadian bot karam ketika sesi latihan regata di Sungai Sarawak dekat Royal Bay Commercial Centre, Jalan Buruh Bintawa, di sini berpunca daripada gelombang pergerakan sebuah bot nelayan dari arah bertentangan.

Ketua Polis Kuching, Mohd Farhan Lee Abdullah berkata, gelombang itu menyebabkan bot regata membawa 16 peserta yang juga kakitangan Unit Keselamatan dan Penguatkuasaan Sarawak (UKPS) itu dimasuki air.

“Air telah masuk ke dalam bot regata menyebabkannya karam dan semua 16 peserta dalam bot berkenaan berusaha menyelamatkan diri.

“Sejumlah 11 peserta lelaki berjaya menyelamatkan diri, namun lima lagi mangsa serta bot karam itu belum ditemui,” katanya di pusat operasi mencari dan menyelamat di Royal Bay Commercial Centre malam tadi.

Beliau berkata, SAR yang dijalankan sejak jam 4.37 petang dan tamat jam 7.30 malam Jumaat itu melibatkan 12 agensi dengan lapan aset serta dua ambulans.

Menurutnya, operasi berkenaan bersambung pagi ini dengan menumpukan dua bahagian.

“Hari kedua SAR akan dipecahkan kepada dua bahagian, iaitu melalui lokasi kejadian ke arah muara menuju laut dan satu lagi muara sungai ke bahagian atas.

“Kita akan dibantu juga oleh nelayan tempatan dan kita minta mana-mana pihak yang ingin membantu operasi ini perlu diselaraskan dengan polis,” katanya yang turut menasihati orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi mengenai kejadian itu.

Beliau berkata, semua peserta itu sedang menjalani latihan bagi acara kemuncak perlumbaan Festival Regata Sarawak-Kuching Waterfront 2024 pada 1 hingga 3 November ini.

“Berikutan insiden ini, kita juga akan pantau dan pasukan regata lain yang akan menjalani latihan agar pentingkan keselamatan dan memakai jaket keselamatan sewaktu sesi latihan,” katanya.

Terdahulu, jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Sarawak memaklumkan mereka yang hilang ialah Mohamad Ikhmal Sama’ail, Majurie Maharuf, Mohd Afiq Isyamudin Asaari, Mohamad Khairul Bidin dan Muhammad Khairul Hisyam Kasturi dalam lingkungan 22 hingga 35 tahun. – BERNAMA

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *