IPOH – Harimau belang yang dipercayai membaham dua mangsa masing-masing di Bersia, Gerik serta Batu Melintang, Jeli, Kelantan baru-baru ini berjaya ditangkap.
Pengarah PERHILITAN Perak, Yusoff Shariff ketika dihubungi mengesahkan haiwan berkenaan memasuki perangkap yang dipasang pihaknya.
Bagaimanapun, katanya, maklumat lanjut berkaitan tangkapan itu akan diberikan oleh Pengarah PERHILITAN Kelantan dalam masa terdekat memandangkan tangkapan dilakukan di Jeli, Kelantan.
“Ya, dapat (tangkapan) di sebelah Jeli. Jadi, Pengarah PERHILITAN Kelantan yang akan memberikan maklumat lanjut,” katanya sebagaimana laporan BHNews.
Terdahulu, Yusoff berkata, PERHILITAN Perak dan Kelantan bekerjasama memasang perangkap di lokasi dikenal pasti bagi menangkap harimau yang disyaki membaham dua mangsa terbabit.
Beliau berkata, pihaknya melihat kemungkinan harimau yang menyerang kedua-dua mangsa adalah haiwan sama berikutan lokasi dua kejadian itu terletak saling berhampiran kira-kira empat kilometer (KM) melalui Jalan Raya Timur Barat (JRTB) Gerik-Jeli, selain insiden berlaku dalam tempoh terdekat.
Media sebelum ini melaporkan, seorang pemandu jentera berat, Adnan Ismail, 54, maut selepas diserang harimau di luar rumah kongsinya di Bagan Balak, Kilometer 79.2, JRTB Gerik-Jeli pada Selasa lalu.
Mayat lelaki itu dijumpai kira-kira 100 meter dari rumah kongsi dengan kesan kecederaan parah di leher dan kaki kiri.
Sementara itu, lelaki warga Myanmar menjadi mangsa kedua apabila ditemui maut dalam keadaan mengerikan dengan paha kiri terputus selepas dipercayai diserang harimau ketika berada di belakang sebuah rumah kongsi di ladang cili di Batu 18, JRTB Jeli-Gerik, Khamis lalu.
Mangsa yang berusia 34 tahun itu dijumpai di dalam kawasan hutan kira-kira jam 9.15 pagi selepas rakannya terdengar bunyi harimau mengaum berdekatan ladang berkenaan. – ND
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252