KUALA LUMPUR – Datin Seri Rosmah Mansor menafikan mengetahui sebarang urusan pembayaran denda RM50 juta yang dikenakan terhadap suaminya, Datuk Seri Najib Razak, bagi membolehkan bekas Perdana Menteri itu menjalani baki hukuman penjara di bawah tahanan rumah.
Rosmah berkata, beliau mahupun ahli keluarga tidak dimaklumkan mengenai dakwaan dua individu yang dipercayai wakil Najib hadir ke Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur untuk membuat pembayaran berkenaan.
“Saya tidak tahu, keluarga juga tidak dimaklumkan mengenainya,” katanya kepada media selepas menghadiri prosiding pengurusan kes projek solar hibrid di Mahkamah Tinggi di sini, hari ini.
Beliau kemudian ditunjukkan tangkap layar laporan berita yang mendakwa dua individu dipercayai wakil Najib dilihat meninggalkan kaunter pembayaran di kompleks mahkamah berkenaan.
Mengulas perkara itu, Rosmah secara berseloroh berkata media sering mengetahui sesuatu perkembangan lebih awal, namun laporan berkenaan kemudiannya ditarik balik selepas didapati tidak tepat.
“Mereka (media) selalu lebih tahu, tetapi selepas itu mereka tarik balik laporan berkenaan. Rupanya tak betul,” katanya.
Ditanya mengenai perkembangan kutipan dana bagi membantu Najib menjelaskan denda berkenaan, Rosmah menegaskan beliau tidak terbabit dalam urusan tersebut.
“Saya tidak tahu kerana saya tidak terbabit dalam perkara itu,” katanya.
📍 3062 Taman Indah, Jalan Banggol, 17500 Tanah Merah, Kelantan
Ketika ditanya sama ada kutipan dana itu dikendalikan sepenuhnya oleh UMNO, Rosmah menjawab, “Ya.”
Beliau turut meminta media mendapatkan penjelasan lanjut daripada Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, berhubung perkara berkenaan.
Spekulasi mengenai kemungkinan pembayaran denda RM50 juta itu dibuat oleh wakil atau peguam Najib mula menjadi perhatian sejak awal minggu ini.
Najib sebelum ini dilaporkan berdepan kekangan kewangan untuk menjelaskan jumlah berkenaan, sekali gus menimbulkan persoalan mengenai perkembangan usaha mengumpul dana bagi memenuhi syarat yang ditetapkan.
Pada 18 September lalu, Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim memperkenankan pengampunan bersyarat terhadap Najib yang membolehkannya menjalani baki hukuman penjara di bawah tahanan rumah sehingga 23 Ogos 2028.
Bagaimanapun, pelaksanaan syarat berkenaan tertakluk kepada pembayaran denda RM50 juta.
Susulan itu, UMNO melancarkan tabung Dana Solidariti Najib Razak bagi mengumpul sumbangan orang ramai untuk melunaskan denda berkenaan, dengan alasan aset peribadi Najib dan keluarganya masih dibekukan.
Pada 25 September lalu, peguam Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, memberitahu media bahawa anak guamnya tidak mempunyai wang RM50 juta untuk membolehkan beliau menjalani baki hukuman di bawah tahanan rumah.
Telegram: Nasional Daily
Facebook: Nasional Daily
TikTok: NasionalDaily
Whatsapp: NasionalDaily.com
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
