BERITA UTAMA
UNIMAP terima peruntukan tingkat fasiliti pembelajaran anak-anak Autism di Perlis

UniMAP terima peruntukan tingkat fasiliti pembelajaran anak-anak Autism di Perlis

ARAU – Yayasan Bank Rakyat (YBR) dengan kerjasama Autism Hub for Educational Resources & Training (A-HEART) Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) dan Yayasan Tuanku Syed Putra berganding bahu meningkatkan kesejahteraan golongan autism menerusi program Sejahtera dan Lestari.

Berteraskan pendidikan lebih inklusif kepada golongan memerlukan, tiga organisasi berkenaan menjayakan projek Pembangunan Fasiliti Terapi Open Gym di Hab A-HEART yang diadakan di Bangunan Perpustakaan Tuanku Syed Faizuddin Putra (PTSFP).

Program itu merupakan fasiliti terapi anak-anak autistik berkonsepkan ekosistem dan persekitaran kehidupan seharian yang dilalui oleh golongan berkenaan dan berkeperluan khas.

A-HEART telah memulakan perancangan pembangunan Open Gym sejak September tahun lalu menerusi kerjasama dengan YBR dan Pusat Terapi Senze for Mindz di Kangar, Perlis.

Inisiatif itu meliputi pemilihan peralatan terapi bersesuaian dengan keperluan anak autistik dan yang berkeperluan khas.

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Ibni Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail selaku Canselor UniMAP telah mencemar duli ke PTSFP di UniMAP hari ini bagi merasmikan inisiatif berkenaan.

Turut hadir pada majlis perasmian bagi menyokong usaha meningkatkan pendidikan di kalangan golongan Istimewa itu ialah Pengurus Besar YBR, Syaiful Rizal Abdul Ghani dan Pengurus Jabatan Komunikasi Korporat YBR, Mohamad Ghazali Zainal Abidin.

Syaiful Rizal dalam kenyataannya berkata, penyediaan pembangunan fasiliti yang baik adalah sebahagian daripada hasrat YBR untuk memastikan anak-anak autistik dapat mengikuti sesi pembelajaran dengan selesa dan selamat serta membantu mengembangkan potensi mereka.

Selain itu, katanya, fasiliti yang dibangunkan di Open Gym itu juga secara tidak langsung menjadi platform kepada golongan istimewa mengembangkan potensi diri.

“Ia juga boleh dimanfaatkan ibu bapa atau penjaga untuk membantu anak-anak autistik meneroka dan meningkatkan keupayaan deria, kognitif serta pergerakan motor atau fizikal,” katanya. 

Jelas beliau lagi, kerjasama itu adalah langkah positif bagi memastikan anak-anak autism mendapat kemudahan pembelajaran yang baik dan kondusif.

“Juga memberikan peluang kepada anak-anak autistik ini untuk mengikuti sesi pembelajaran dengan penyediaan keperluan yang lebih lengkap dan dapat menerima intervensi terapi secara berkesan dan lestari.

“Diharapkan sokongan berterusan dari semua pihak terutama ibu bapa, keluarga dan masyarakat menjadikan mereka lebih berdaya saing serta memotivasikan untuk mengikuti sesi pembelajaran lebih sempurna dan selesa,” katanya.

Kata Syaiful Rizal, bagi tahun ini, YBR telah memperuntukan sebanyak RM13.4 juta melalui inisiatif Program Pembangunan Pendidikan.

Beliau juga berharap dengan penganjuran program seperti itu memberi impak besar kepada usaha untuk membantu masyarakat Istimewa, sekali gus kesedaran bahawa organisasi luar turut mengambil berat serta sedaya upaya mempelbagai bantuan dan aktiviti kepada yang memerlukan. – ND

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *