KUALA LUMPUR: Pelakon kontroversi, Aliff Aziz dan Ruhainies hanya ‘membisu’ sebaik selesai prosiding sebutan semula kes khalwat di Mahkamah Tinggi Syariah Wilayah Persekutuan, Jalan Duta, di sini, hari ini.
Biarpun diasak dengan pelbagai soalan mengenai prosiding hari ini, kedua pelakon berkenaan tetap tidak mengendahkan pertanyaan bertalu-talu oleh kira-kira 30 pengamal media yang hadir membuat liputan, lapor Berita Harian.
Masing-masing mengambil pendekatan untuk terus berlalu pergi menuju ke pejabat urusan mahkamah untuk menguruskan pertukaran penjamin membabitkan Aliff.
Ruhainies kemudian dilihat terlebih dahulu meninggalkan pejabat dengan ditemani kakaknya, Risteena Munim disusuli Aliff 10 minit kemudian.
Terdahulu, Mahkamah Tinggi Syariah, di sini, hari ini menetapkan dua hari, iaitu 20 dan 27 Februari 2025 bagi perbicaraan kes khalwat antara Aliff dan Ruhainies.
Hakim Syarie Abu Suffian Abu Yaziz menetapkan tarikh berkenaan selepas kedua-dua pihak bersetuju dengan tarikh yang dicadangkan.
Pegawai Pendakwa Syarie, Masroha Duki dan Mohd Nahar Mohamad dari Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) memaklumkan bahawa pihak pendakwaan sudah menyerahkan dokumen kes, antaranya senarai saksi-saksi.
Mendengar perkara itu, peguam syarie mewakili Aliff dan Ruhaninies mengesahkan dokumen berkenaan.
Menerusi prosiding yang sama, mahkamah turut membenarkan Aliff untuk menggantikan penjamin baharu.
Ini berikutan penjamin sebelumnya iaitu Muhammad Nur Aiman Zainul Ilyas yang juga adik kepada Ruhainies menarik diri atas urusan kerja.
Pada prosiding 3 Julai lalu, Aliff dan Ruhainies mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan berhubung kes khalwat pada 9 Mac lalu ketika pertuduhan dibacakan.
Aliff dan Ruhainies membuat pengakuan di hadapan Hakim Abu Suffian Abu Yaziz.
Pertuduhan terhadap mereka didakwa mengikut Seksyen 27(a) Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 dan Seksyen 27 (b) akta sama yang membawa hukuman denda maksimum RM3,000 atau penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Pada 20 Jun lalu, Aliff dan Ruhainies hadir di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan bagi proses lanjutan bon jamin terhadap kes khalwat yang dilaporkan berlaku di sebuah kondominium mewah, di sini, di ibu negara pada 9 Mac lalu.
Selepas dibawa ke Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) untuk disoal siasat, Aliff dan Ruhainies dibebaskan dengan jaminan kira-kira jam 2 petang pada hari sama.
Sebelum ini, media melaporkan artis berstatus suami orang dan pasangannya, seorang pelakon wanita, dicekup berkhalwat selepas didakwa bersekedudukan di sebuah kondominium mewah, di sini.
Tangkapan dibuat JAWI adalah berdasarkan maklumat awam. Pasangan selebriti yang sibuk menjalani penggambaran drama itu, dilapor ditahan di kediaman milik pelakon wanita berkenaan.
Rentetan insiden itu, Aliff dan Ruhainies tampil memberi penjelasan menerusi hantaran Instagram (IG) berhubung kontroversi tercetus.
Aliff dan bekas isterinya, Bella Astillah yang mendirikan rumah tangga pada 9 September 2016, bercerai talak satu pada 13 Jun lalu.
Mereka dikurniakan dua cahaya mata, Mohamad Ayden Adrean, 7, dan Ara Aadreanna, 4.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252