Pendakwaan pertikai MC Tun Daim

Kuala Lumpur: Pihak pendakwaan dalam kes Tun Daim Zainuddin yang didakwa atas pertuduhan gagal mengisytiharkan hartanya, mempersoalkan mengenai ketidakhadiran bekas menteri kewangan itu ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini.

Hari ini ditetapkan untuk keputusan mengenai permohonan pihak pendakwaan supaya Daim, 86, atau nama sebenarnya Che Abdul Daim Zainuddin bagi menjalani pemeriksaan mental bagi memastikan beliau layak dibicarakan atau sebaliknya.

Timbalan Pendakwa Raya, Law Chin How berkata, pihaknya menerima sijil cuti sakit (MC) daripada pemimpin veteran itu menyatakan Daim dimasukkan ke Hospital Assunta, Petaling Jaya, semalam, lapor Harian Metro.

“Selepas meneliti MC ini, tiada sebarang alasan diberi kenapa Tun Daim dimasukkan ke hospital, sakit apa dan kenapa dimasukkan (ke hospital) tidak diterangkan.

“Kita mempunyai alasan cukup kuat, minta laporan perubatan penuh diberi oleh Hospital Assunta bagi keadaan Daim dan kalau boleh doktor yang merawat untuk datang ke mahkamah memberi penjelasan berkenaan keadaan beliau sekarang.

“Kita juga mahu ‘nursing sister’ yang keluarkan surat MC ini datang ke mahkamah untuk beri penjelasan atas sebab apa Tun Daim dimasukkan ke hospital, dan tiada sebarang alasan diberi kenapa masuk dan bila boleh discaj pun tidak tahu,” katanya ketika sebutan kes di hadapan Hakim Azura Alwi hari ini.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Fadhly Mohd Zamry berkata, Daim hanya datang sekali ke mahkamah untuk berdepan pertuduhan itu.

“Saya percaya melihat kepada rekod mahkamah, tertuduh hanya hadir sekali saja sejak dituduh pada Januari 2024, selepas itu peguam memasukkan beberapa permohonan pengecualian untuk Tun Daim tidak hadir.

“Tiada satu perkataan pun dalam surat itu menunjukkan Tun Daim ‘unfit’ untuk datang ke mahkamah hari ini dan tandatangan dalam MC ini bukan daripada pegawai perubatan tetapi hanya jururawat kanan,” katanya.

Sementara itu, peguam Datuk Dr Gurdial Singh Nijar mewakili Daim mengesahkan bahawa anak guamnya dimasukkan ke Hospital Assunta, semalam.

“Ini salah faham, pembelaan mohon pendengaran permohonan pendakwaan supaya Tun Daim menjalani pemeriksaan mental ditangguhkan bukan kerana Tun Daim masuk hospital, sebaliknya kerana saya baru saja dilantik sebagai peguam dan terdapat pindaan terhadap permohonan bagi rujuk persoalan undang-undang.

“Saya juga menerima arahan untuk meminda notis permohonan Tun Daim untuk merujuk persoalan undang-undang sebelum anak guam saya dimasukkan ke hospital,” katanya.

Mendengar hujah semua pihak, Azura kemudian berkata, isu ketidakhadiran Daim ke mahkamah tidak perlu diperbesarkan kerana beliau sudah mengeluarkan perintah supaya kehadiran Daim dikecualikan hari ini.

Azura turut menetapkan 20 November ini untuk pendengaran permohonan pendakwaan untuk tertuduh menjalani pemeriksaan mental dan tertuduh perlu hadir pada prosiding itu.

Pada 29 Januari lalu, Daim mengaku tidak bersalah atas pertuduhan gagal mematuhi notis dengan tidak mengisytiharkan harta termasuk beberapa kenderaan mewah, syarikat dan hartanah di sekitar Kuala Lumpur, Selangor, Pahang, Negeri Sembilan, Perak dan Kedah.

Na’imah, 67, pula didakwa pada 23 Januari atas satu pertuduhan gagal mematuhi notis dengan tidak mengisytiharkan harta termasuk Menara Ilham dan beberapa hartanah di sekitar Kuala Lumpur dan Pulau Pinang.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 36(2) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang membawa hukuman penjara tidak melebihi lima tahun dan didenda maksimum RM100,000, jika sabit kesalahan.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *