BERITA UTAMA
Takkan nak tengok kes arwah Zulfarhan berulang?' - Tam Spider

Takkan nak tengok kes arwah Zulfarhan berulang?’ – Tam Spider

KUALA LUMPUR – Vokalis Spider, Tam, 51, yang mendakwa anaknya menjadi mangsa buli di sekolah berasrama, di sini, kecewa dengan pihak sekolah yang tidak membuang enam pembuli daripada asrama walaupun bersetuju melakukannya ketika sesi perjumpaan dengan ibu bapa, Sabtu lalu.

Tam atau nama sebenarnya, Rustam Mustafah ketika dihubungi berkata, pihak sekolah membuat ‘u-turn’ apabila membenarkan enam pembuli itu masuk semula dan tinggal dalam bilik warden asrama.

“Alasannya mereka bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Alasan ini macam tiada kena mengena. Mereka boleh sahaja belajar di rumah. Saya nampak ada pihak yang main wayang, jadi isu ini tiada kesudahan. Kalau begini cara sekolah, baik tutup sahaja.

“Perkara ini selalu terjadi pada kita. Sudah terjadi baru nak bertindak. Hari itu mesyuarat, ada keluarga cakap takkanlah nak tunggu sampai anak kami jadi mayat baru nak bertindak?” katanya kepada Harian Metro.

Menurutnya, walaupun Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek dan polis sudah bercakap mengenai masalah di sekolah berkenaan, tetapi pihak sekolah masih tidak menemukan jalan penyelesaian.

Difahamkan, Tam mendakwa, keluarga pembuli sendiri tidak tahu anak mereka ada masalah di sekolah.

“Mereka terkejut apabila anak-anak dikeluarkan daripada asrama. Saya lihat sekolah ada masalah dan cuba sembunyikan perkara sebenar sebelum ini. Malah, ada guru menasihatkan pelajar yang menjadi mangsa buli jangan memberitahu keluarga mengenai perkara itu.

“Sebaliknya, dia sendiri yang akan sampaikan aduan kepada pembuli. Jadi, pengadu (mangsa buli) akhirnya menjadi sasaran pembuli untuk balas dendam,” dakwanya.

Tam berkata, jika setakat mereka pecahkan gitar anaknya atau mencuri kasut, itu perkara kecil kerana tidak membabitkan sentuhan atau memukul.

“Tapi kalau sudah pukul sampai ada mangsa yang telinga pekak dan lebih teruk lagi trauma, memang tak seronok. Lebih teruk, kalau anak-anak kami hilang nyawa, adakah boleh dicari ganti?

“Anak saya dan pelakon Khir Rahman memang tak teruk kena sentuh berbanding anak orang lain. Memandangkan saya dan Khir adalah selebriti, jadi kami secara tak langsung mewakili mangsa lain kerana mereka adalah kawan anak-anak kami.

“Walaupun saya mulanya keberatan nak ke depan, tapi saya tak kisah apabila dipetik nama demi keselamatan anak-anak. Percayalah, perkara ini serius,” katanya.

Tam percaya, enam pembuli itu pasti berdendam apabila perbuatan mereka dilaporkan kepada pelbagai pihak.

“Janganlah sasarkan pelajar tingkatan lima semata-mata kerana fahamlah mereka budak-budak muda yang ikut perasaan. Sekolah juga kena mainkan peranan.

“Saya sepatutnya hantar anak masuk asrama hari ini, tapi tak jadi berbuat demikian dengan perkembangan terbaharu yang berlaku. Saya sudah rasa tak selamat. Harap pihak tertentu buka mata perkara ini,” katanya.

Tam berkata, dia mengambil keputusan sehingga perjumpaan ibu bapa dan pihak sekolah pada 14 Oktober ini.

 

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *