BERITA UTAMA

Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air buka bidaan Sijil Tenaga Boleh Baharu

KUALA LUMPUR: Syarikat korporat dan entiti perniagaan boleh menyertai bidaan sijil tenaga boleh baharu (TBB) daripada penjanaan melalui platform Malaysia Green Attribute Trading System (mGATS) bagi memenuhi komitmen Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG).

Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) akan membuka bidaan mulai 12 tengah hari 7 Oktober hingga 5 petang 11 Oktober ini dengan tawaran 1000 GWj sijil TBB daripada sumber hidro dan 100GWj dari sumber solar.

Menurut PETRA, platform bidaan mGATS yang dibangun dan dikendalikan Tenaga Nasional Berhad (TNB) melalui anak syarikatnya, TNBX Sdn Bhd dilancarkan pada 8 Mei lalu.

Proses bidaan akan dilakukan melalui laman https://platform.mgats.com.my secara berterusan setiap bulan, bermula 7 hingga 11 Oktober sehingga semua sijil TBB yang ditawarkan habis dibida.

Perincian urus niaga komersial sijil TBB itu boleh diperoleh di laman www.mgats.com.my.

Menurut PETRA, pensijilan dan pendaftaran sijil TBB yang ditawarkan adalah berdasarkan piawaian badan pensijilan antarabangsa seperti ITRACK Foundation.

“Langkah ini penting bagi memastikan dan menjamin kredibiliti sijil TBB yang diurusniagakan.

“PETRA yakin pembukaan bidaan sijil TBB yang dihasilkan pada tahun ini akan membolehkan syarikat korporat memenuhi komitmen ESG berdasarkan kemampuan serta keupayaan masing-masing,” menurut kenyataan kementerian itu.

Usaha berkenaan diharap merancakkan lagi pembangunan industri TBB negara, sekali gus menyokong aspirasi peralihan tenaga negara untuk capai sasaran 70 peratus campuran kapasiti TBB dalam perbekalan elektrik negara menjelang 2050.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *