PASIR PUTEH: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menahan 19 nelayan warga asing termasuk seorang tekong selepas masing-masing didapati positif dadah dalam dua operasi berasingan minggu ini.
Tangkapan dilakukan susuan pemeriksaan ke atas dua vesel nelayan tempatan oleh bot peronda Maritim Malaysia yang melakukan rondaan OP Naga Barat, Op Damai dan Op Tiris.
Pengarah Maritim negeri, Kepten Maritim Erwan Shah Soahdi, berkata tekong warga Kemboja berusia 29 tahun ditahan dalam pemeriksaan jam 4.20 pagi pada 19 September lalu selepas disahkan positif dadah.
Katanya, lelaki itu juga mempunyai dokumen pengenalan diri meragukan, selain gagal mengemukakan lesen vesel ketika diminta pihak berkuasa.
“Tekong didapati positif Methamphetamine ketika ujian saringan air kencing dan disiasat di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952.
“Sementara 18 kru warga Thailand ditahan dalam satu vesel berasingan di kedudukan lebih kurang 5.5 batu nautika timur Pulau Perhentian pada jam 3.40 pagi, Rabu lalu,” katanya dalam kenyataan media.
Beliau berkata, bot ditahan kerana melanggar syarat sah lesen dengan melakukan aktiviti menangkap ikan pada jarak kurang daripada yang dibenarkan.
“Semua kru berusia antara 24 hingga 55 tahun didapati memiliki permit kerja meragukan.
“Kes disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959/1963,” katanya.
Erwan Shah berkata, kedua-dua bot dan nelayan dibawa ke Jeti Maritim Malaysia di Tok Bali untuk tindakan lanjut.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252