LENGGONG: Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad mengesahkan 55 kanak-kanak penghuni rumah amal kendalian GISB Holdings (GISBH) di Perak diselamatkan menerusi Op Global, sehingga semalam.
Beliau berkata, semua kanak-kanak berusia 12 tahun dan ke bawah itu kini ditempatkan di rumah jagaan institusi Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), lapor Berita Harian.
“Tidak dinafikan memang ada (rumah amal GISBH di Perak)… saya sudah minta Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk), Harith Fadzilah Abdul Halim untuk mengumpul maklumat dan data, serta membuat laporan,” katanya ketika ditemui selepas menyempurnakan Majlis Pelepasan Rimba Raid Lenggong 2024 di Kampung Beng, di sini, hari ini.
Ditanya mengenai fatwa berkaitan kepercayaan dana ajaran GISBH di Perak, Saarani yang turut menerajui portfolio Agama Islam Perak berkata, keputusan akan dibuat berdasarkan apa yang diputuskan Majlis Fatwa Kebangsaan.
Katanya, beliau juga akan menghadap Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah yang juga Pengerusi Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) selepas laporan lengkap mengenai GISBH di Perak diterima daripada JAIPk.
Beliau berkata, penentuan klasifikasi gerakan GISBH di Perak sama ada serius atau tidak, ia bergantung hasil kajian dijalankan JAIPk kelak.
“Secara kebetulan, Sultan Perak adalah pengerusi MKI yang akan mengendalikan masalah ini, jadi negeri Perak kita sedang mengumpul maklumat. Kita kena tunggu Majlis Fatwa Kebangsaan dan kita akan ikuti apa keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan.
“Sehingga laporan lengkap (diterima), baru saya akan menghadap Sultan Nazrin. Kita kena tunggu laporan kajian JAIPk selaku jabatan yang terbabit itu, bersama polis,” katanya.
Terdahulu, media melaporkan beberapa negeri antaranya Terengganu, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang akan meneliti keputusan MKI yang bersidang bermula 24 September lalu sebelum memuktamadkan status doktrin diperjuangkan GISBH sebagai ajaran sesat.
Media pada 23 September lalu melaporkan polis menyelamatkan empat kanak-kanak yang juga adik beradik berusia enam hingga 11 tahun di Tapah, Perak yang terpisah dengan bapanya sejak 2021 menerusi Op Global fasa empat yang dijalankan Sabtu lalu, di mana seorang kanak-kanak terbabit adalah individu tular yang dirotan oleh ahli GISBH.
EXCO Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Perak, Datuk Salbiah Mohamed dilapor berkata, mangsa berusia enam hingga 11 tahun itu kini ditempatkan di institusi di bawah perlindungan JKM. -ND
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252