MENGGUNAKAN istilah ‘di mana ada kemahuan di situ ada jalan’ nyata menjadikan USIM Education semakin bersemangat menuju kejayaan dalam merentasi alam perniagaan yang mencabar.
Cabaran yang dihadapi tidak langsung dirasakan satu beban buat anak syarikat Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) yang berpengkalan di Nilai, Negeri Sembilan untuk meneroka lebih banyak cabang perniagaan di negara ini.
Terbaru, USIM Education terus diberi kepercayaan pihak Fakulti Syariah dan Undang-Undang (FSU) USIM menjayakan program Diploma Lepasan Ijazah – Amalan Kehakiman dan Guaman Syarie (DIJAP) awal bulan depan.
“Sebenarnya kami sudah laksanakan DIJAP sejak 2022 dan kami terus diberi kepercayaan oleh pihak FSU untuk jayakan program ini dan ia sesuatu yang menggembirakan.
“Kerjasama antara USIM Education dan FSU semakin erat malah saya harapkan situasi ini berterusan sampai bila-bila kerana ia amat baik untuk kedua-dua institusi,” kata Ketua Unit Pendidikan Usim Education, Siti Nur Shakina Samsudin kepada Nasional Daily.
Objektif DIJAP yang dijayakan oleh FSU dan USIM Education, kata beliau, program mempunyai penguasaan lanjutan dan aptitud dalam Perundangan Syariah.
“Ia juga dilihat mampu memenuhi kehendak industri dalam profesion kehakiman dan guaman syarie serta boleh mempamerkan kemahiran praktikal.
“Yang lebih penting, program DIJAP ini amat kompeten, beretika dan mahir dalam proses serta peraturan mahkamah sama ada sivil atau jenayah. Ia juga dapat memahami pertikaian bidangkuasa antara mahkamah sivil dan syariah dalam konteks di Malaysia,” katanya.
Pelaksanaan pengajian program itu, kata Siti Nur Shakina, dijalankan secara sepenuh masa selama dua semester atau setahun dan ia dilaksanakan secara bersemuka di Kampus Induk USIM.
Bulan depan, menurut beliau, seramai 181 pelajar akan mengikuti program DIJAP dan ia membabitkan bekas pelajar lepasan ijazah dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Universiti Malaya (UM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Al-Azhar, Mesir, Kolej Universiti Islam Selangor (KUIS), Universiti Islam Antarabangsa Sultan Abdul Halim Muadzam Shah (UNISHAMS) serta alumni USIM sendiri.
“Buat pertama kali, kami mengadakan kerjasama secara pesisir dengan Universiti Malaysia Sabah (UMS) dalam menjayakan Program DIJAP. Sebagai permulaan, seramai 50 pelajar akan mengikuti program ini,” katanya.
Justeru, beliau juga mengharapkan hubungan antara USIM Education dan FSU terus terjalin pada masa hadapan kerana ia sesuatu yang baik dalam melahirkan graduan undang-undang lebih efisien dan berketrampilan.
“Kami juga bersedia untuk menjalinkan hubungan dua hala antara fakulti undang-undang di universiti seluruh negara dalam menjayakan program DIJAP yang dilihat amat berkesan.
“Selepas dua tahun melaksanakan program ini, saya lihat DIJAP mempunyai potensi yang amat baik dan sememangnya ia perlu diperluaskan di insitusi pengajian tinggi awam (IPTA) da swasta (IPTS),” jelas Siti Nur Shakina. – ND
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252