PETALING JAYA – Pemimpin UMNO Sabah, Datuk Seri Salleh Said Keruak yakin Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak akan mendedahkan nama 115 Ahli Parlimen yang didakwa menyokongnya, kerana takut hilang jawatan.
Beliau yang juga ADUN Usukan berkata, Muhyiddin khuatir tidak lagi mengetuai gabungan itu kerana ‘kenyataan fakta’ yang dibuat ketika PRK Nenggiri hanya andaiannya sendiri.
“Saya yakin Muhyiddin tidak akan dedah nama semua 115 Ahli Parlimen seperti mana yang dicabar oleh MKT UMNO, Datuk Dr. Mohd Puad Zarkashi. Ini adalah sebab beliau tidak mempunyai sokongan seramai itu.
“Jika Muhyiddin cuba dedahkan nama 115 Ahli Parlimen itu, beliau akan hilang kredibiliti sebagai seorang pemimpin apabila sebilangan Ahli Parlimen tidak mahu mengesahkan,” katanya di Facebook yang dipetik laporan FMT.
Oleh itu, katanya, PN akan tolak beliau dari jawatan Pengerusi PN untuk diganti dengan seorang pemimpin yang mempunyai kredibiliti dan bijak.
Semalam, Mohd Puad dilaporkan mencabar Ahli Parlimen Pagoh itu mendedahkan senarai 115 Ahli Parlimen yang didakwa menyokongnya untuk menjadi Perdana Menteri ke-10.
Sebelum ini, tular ucapan Muhyiddin yang dikatakan menyentuh kewibawaan Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah ketika menjadi Yang di-Pertuan Agong ke-16.
Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah murka dengan kenyataan Muhyiddin yang disifatkan secara sengaja dan sinis memperlekeh peranan Sultan Abdullah.
Baginda berkata, Presiden Bersatu itu cuba memanipulasi fakta serta membawa naratif negatif seolah-olah Sultan Abdullah tidak berlaku adil semasa memilih Perdana Menteri ke-10.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, Muhyiddin dipanggil memberi keterangan hari ini susulan laporan terhadapnya termasuk oleh Istana Pahang.
Bagaimanapun, rakaman keterangan itu ditangguhkan esok berikutan peguam Muhyiddin masih berada di Thailand. – ND
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252