PETALING JAYA – Proses rakaman percakapan Muhyiddin Yassin yang sepatutnya berlangsung hari ini ditangguhkan kepada esok.
Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu dijangka memberi keterangannya di Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (Mida) pada 11 pagi, menurut Ketua Polis Negara Razarudin Husain.
Peguam beliau (Muhyiddin) maklum untuk ditangguhkan (rakaman percakapan) esok 11 pagi kerana beliau masih berada di Thailand, katanya, lapor Harian Metro.
Terdahulu dilaporkan polis memanggil Muhyiddin, yang juga Ahli Parlimen Pagoh, untuk memberi keterangan hari ini berhubung ucapannya yang didakwa menyentuh isu 3R (kaum, agama, raja) ketika kempen PRK Nenggiri baru-baru ini.
Setakat ini, polis telah menerima 30 laporan daripada pelbagai pihak berhubung perkara itu.
Ketua Polis Pahang Yahaya Othman sebelum ini berkata, siasatan akan dijalankan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman.
Baru-baru ini, tular ucapan bekas perdana menteri itu yang dikatakan menyentuh kewibawaan Sultan Pahang Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah ketika menjadi Yang di-Pertuan Agong Ke-16.
Semalam dilaporkan Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah murka dan terkilan terhadap kenyataan Muhyiddin itu, justeru menggesa polis mengambil tindakan yang tegas tanpa kompromi. – ND
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252