TOKYO – Taufan Maria hari ini melanda wilayah timur laut Jepun, Iwate, menyebabkan hujan lebat yang memecahkan rekod serta gangguan teruk di seluruh wilayah Tohoku, lapor Xinhua.
Taufan kelima tahun ini, ribut tropika yang teruk, mendarat sekitar jam 8.30 pagi waktu tempatan, lapor Agensi Meteorologi Jepun (JMA), yang memberi amaran mengenai hujan lebat dan angin kencang berterusan, terutama di bahagian Pasifik wilayah Tohoku, wilayah timur laut negara itu.
Dalam tempoh 48 jam menjelang pagi ini, Bandar Kuji di Iwate menerima 450 milimeter hujan, manakala Bandar Otsuchi mencatat 255.5 milimeter – kedua-duanya merupakan jumlah tertinggi pernah direkodkan sejak pengumpulan data bermula.
Perkhidmatan pengangkutan terjejas teruk akibat ribut ini. Japan Airlines dan All Nippon Airways telah membatalkan lebih 80 penerbangan, terutama yang menghubungkan Tohoku dengan Tokyo dan Osaka.
Syarikat Kereta Api Jepun Timur melaporkan kemungkinan kelewatan di laluan Shinkansen Tohoku, Yamagata dan Akita serta menghentikan operasi di beberapa laluan tempatan. Perjalanan darat turut terjejas dengan beberapa bahagian Lebuh Raya Tohoku dan Joban dijangka ditutup akibat hujan lebat berterusan.
Dengan lebih banyak hujan dijangka, terutama di sepanjang pantai Laut Jepun, risiko tanah runtuh meningkat di Iwate dan kawasan sekitarnya, menurut JMA.
Penduduk dinasihatkan untuk terus berwaspada terhadap tanah runtuh, banjir dan angin kencang serta berlindung di bangunan yang kukuh.
Memandangkan keadaan dijangka semakin buruk, pihak berkuasa menegaskan mereka yang mempunyai rancangan perjalanan dua hala wilayah Tohoku harus memantau kemas kini terkini mengenai trafik. – BERNAMA
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252