PETALING JAYA – Aktivis politik, Datuk Zaid Ibrahim menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim membidas perbuatan segelintir pemimpin Pas menggelar rakyat bukan beragama Islam sebagai ‘kafir harbi’.
Bekas Menteri Undang-undang itu berkata, Anwar juga perlu menjelaskan kepada pihak berkenaan adalah tindakan salah menggunakan istilah itu, kerana permohonan maaf dan sekatan ke atas ucapan tidak memadai.
“Satu-satunya penyelesaian adalah pendidikan yang baik, tetapi Anwar harus terajui hala tuju itu, katanya melalui akaun X.
Zaid berkata demikian mengulas perang mulut antara DAP dan Pas selepas seorang individu menggelar parti cauvinis dengan istilah itu pada suatu ceramah sempena PRK Nenggiri, Gua Musang.
Penggunaan ‘kafir harbi’ oleh individu berkenaan yang dikatakan pengerusi majlis, dirakamkan dalam suatu video.
Turut dilaporkan hadir pada ceramah malam itu, Ahli Parlimen Bachok, Syahir Sulaiman dan Pengerusi Muafakat Nasional, Tan Sri Annuar Musa.
Kata Zaid, golongan yang menggunakan istilah ‘harbi’ itu mungkin tidak tahu asal usul perkataan itu, atau maksud dan konteks yang betul.
“Hari ini, orang Cina (termasuk DAP) sebahagian daripada negara Islam bernama Malaysia. Maka adalah salah jika istilah ‘harbi’ digunakan terhadap mereka; mereka bukan orang asing, mereka tidak berperang dengan negara Islam,” katanya.
Justeru, katanya, pengikut Pas perlu diberi didikan mengenai penggunaan istilah Islam secara betul serta erti demokrasi dan kebebasan beragama.
“Sekolah kita gagal melawan ekstremisme agama,” katanya ringkas sambil menyeru pendidikan secukupnya mengenai Perlembagaan, sejarah Malaysia, dan konsep Islam. – ND
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252