PETALING JAYA – Seorang saksi memberitahu terdengar jeritan minta tolong di belakang tandas sebuah sekolah dalam kes serangan bersenjata di Sekolah Agama Rakyat (Kafa) Al-Ehsaniah, Kelana Jaya, dekat sini, semalam.
Saksi berkenaan, Salwiah Yusof yang juga guru sekolah agama itu berkata, suara meminta tolong itu adalah dari guru besar sekolah itu yang cedera diserang seorang lelaki bersenjatakan pisau.
Katanya, kejadian berlaku di tandas Surau Al-Ehsaniah Ahmadiah sekolah itu sebaik guru besar berkenaan pada mulanya bergegas seorang diri ke tandas itu selepas melihat ada pergelutan antara dua individu.
Katanya, dalam kejadian kira-kira jam 1.30 tengah hari itu, dia bersama guru besar berkenaan serta beberapa guru wanita lain membuat persiapan pembelajaran sesi petang yang akan bermula selepas solat Jumaat.
“Bagaimanapun, tiba-tiba kami terdengar jeritan meminta tolong dari arah tandas surau yang tidak jauh dari sekolah menyebabkan guru besar segera ke tandas itu untuk melihat apa yang sedang berlaku, tetapi kami ketika itu masih dalam kelas.
“Bagaimanapun tidak lama selepas itu, kami terdengar lagi jeritan meminta tolong yang semakin kuat menyebabkan saya dan beberapa guru wanita berlari untuk melihat apa berlaku sebelum menemukan guru besar dalam keadaan cedera pada pergelangan tangan,” katanya.
Seorang lagi wanita yang dipercayai singgah di surau itu untuk solat Zuhur cedera di perut dan kepala akibat dilibas dengan pisau, namun kelibat lelaki terbabit tidak kelihatan dipercayai sudah melarikan diri dengan menaiki sebuah kenderaan,
Kata Salwiah, guru besar sempat memaklumkan ketika hendak masuk ke tandas itu, dia melihat wanita berusia 26 sedang bergelut dengan suspek dan ketika cuba membantu, dia turut dilibas dengan pisau pada bahagian tangan.
Sementara itu, Pengerusi Surau dan Kafa Al-Ehsaniah, Roselee Mohamed berkata, sebelum ini pernah berlaku rompakan di surau itu.
“Sebelum ini pernah berlaku rompakan di dalam surau ini, namun kejadian serangan menggunakan senjata kali pertama terjadi,” katanya kepada pemberita.
Roselee berkata kawasan surau itu dilengkapi tiga kamera litar tertutup.
Dalam kejadian itu, dua wanita cedera dipercayai diserang seorang lelaki menggunakan pisau dalam tandas surau terbabit.
Polis giat mengesan suspek dan menyiasat motif sebenar serangan. – ND
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252