BERITA UTAMA

Tindakan PN serang peribadi menandakan mereka ketakutan, terdesak – Ahmad Zahid

Gua Musang: Tindakan pimpinan Perikatan Nasional (PN) yang membuat serangan peribadi dan agensi kerajaan menerusi siri ceramah mereka menandakan pihak itu ketakutan dan terdesak.

Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, situasi itu sentiasa berlaku setiap pilihan raya.

“Pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri, mereka (PN) bukan saja membuat serangan peribadi sebaliknya serangan kepada agensi kerajaan seperti Felcra dan Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar).

“Serangan seperti itu yang mereka suka. Itu tanda mereka sudah terdesak dan takut. Namun perlu diingat serangan itu juga akan berbalik kepada mereka.

“Sepanjang mereka diberi tanggungjawab ketika berada dalam kerajaan, mereka tidak berbuat apa-apa pun.

“Saya tidak mahu menyebut nama siapa, namun sekiranya tugas dan tanggungjawab itu diberi, laksanakanlah dengan baik,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Temu Mata Bersama Peserta Kesedar di Kampung Renok, di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub dan Pengerusi Kesedar, Datuk Zawawi Othman.

Pada masa sama, Ahmad Zahid berkata, setakat Umno bersama dalam Kerajaan Perpaduan, mereka mendapat kerjasama baik daripada menteri dan timbalan menteri dari parti lain.

“Malah, prestasi menteri dan timbalan menteri Umno juga adalah yang terbaik dan akan terus diperkukuhkan dalam Kerajaan Perpaduan.

“Barisan Nasional (BN) berpengalaman sebagai kerajaan selama 62 tahun dan kita menggunakan pengalaman sedia ada untuk Kerajaan Perpaduan hari ini,” katanya. – HM

Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *